KUALA NERUS, 23 September 2026 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bakal membuka lembaran baharu kepimpinan dengan pelantikan Prof. Dr. Suriyani Muhamad sebagai Naib Canselor UMT, berkuat kuasa 28 September 2026.
Pelantikan itu menyaksikan Prof. Dr. Suriyani, yang sebelum ini menerajui portfolio Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), diberi amanah untuk memimpin UMT dalam meneruskan kesinambungan kecemerlangan universiti, di samping memperkukuh agenda akademik, penyelidikan, pengantarabangsaan dan pembangunan strategik institusi.
Dengan pengalaman luas dalam bidang akademik dan pengurusan universiti serta kepakaran dalam bidang ekonomi, beliau dijangka membawa perspektif kepimpinan yang menyeluruh dalam memperkukuh kedudukan UMT sebagai universiti berfokuskan bidang kelautan dan sumber akuatik serta peranannya dalam menerajui agenda ekonomi biru negara.
Prof. Dr. Suriyani sebelum ini pernah menjawat jawatan Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial UMT sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) pada Januari 2025.
Sepanjang menerajui portfolio berkenaan, beliau memberikan perhatian kepada pengukuhan ekosistem akademik universiti, termasuk pembangunan program pengajian yang responsif terhadap perubahan semasa, keperluan industri dan perkembangan pasaran pekerjaan.
Agenda pengantarabangsaan turut menjadi antara fokus beliau menerusi peluasan program mobiliti yang memberi peluang kepada pelajar UMT memperoleh pengalaman akademik global, pendedahan rentas budaya serta membina jaringan dengan institusi dan komuniti antarabangsa.
Mengulas hala tuju kepimpinannya, Prof. Dr. Suriyani berkata UMT akan terus membina kekuatan berasaskan bidang teras universiti, di samping memperkasa bidang-bidang strategik yang mempunyai potensi tinggi untuk berkembang.
“UMT mempunyai kekuatan dan identiti yang jelas dalam bidang kelautan dan sumber akuatik. Kekuatan ini perlu terus diperkasa, sambil kita memberikan perhatian kepada sub-niche dan bidang akademik strategik yang mempunyai potensi besar, relevan dengan keperluan negara serta menjadi pilihan pelajar.
“Keutamaan kita adalah memastikan kekuatan akademik UMT terus berkembang secara dinamik dan responsif terhadap perubahan landskap pendidikan tinggi, perkembangan industri serta keperluan masa hadapan negara,” katanya.
Menurut beliau, antara pembangunan strategik yang sedang diberi perhatian ialah penyediaan akhir Teaching Shipyard, yang bakal memperkukuh ekosistem pengajaran dan pembelajaran dalam bidang maritim serta menyokong usaha pembangunan bakat dan kepakaran berkaitan sektor kelautan negara.
Beliau berkata pembangunan bidang akademik yang mempunyai permintaan dan potensi tinggi perlu dilaksanakan secara terancang supaya UMT bukan sahaja mampu memenuhi keperluan semasa, malah bersedia menyediakan bakat, kepakaran dan penyelesaian bagi menghadapi cabaran masa hadapan.
Selain memperkukuh kualiti graduan, kepimpinan baharu UMT juga akan memberikan perhatian kepada penyelidikan berimpak tinggi yang mampu diterjemahkan kepada nilai tambah kepada universiti, industri, masyarakat dan negara.
Kolaborasi strategik bersama industri, agensi kerajaan serta rakan antarabangsa akan terus diperluas supaya kepakaran, penyelidikan dan inovasi UMT dapat dimanfaatkan secara lebih berkesan dalam menangani cabaran sebenar serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
Pendekatan itu selari dengan aspirasi UMT untuk memperkukuh kedudukannya sebagai universiti berfokuskan kelautan dan sumber akuatik, sekali gus memainkan peranan yang lebih signifikan dalam pembangunan ekonomi biru negara.
Dalam perkembangan sama, Prof. Ts. Dr. Noor Maizura Mohamad Noor turut dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, berkuat kuasa pada tarikh yang sama.
Beliau yang kini merupakan Pro Naib Canselor (Jaringan Industri, Masyarakat dan Digital) UMT mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan akademik, jaringan industri dan masyarakat serta agenda pendigitalan universiti.
Pelantikan itu dijangka memperkukuh kesinambungan pengurusan akademik UMT, khususnya dalam pembangunan program akademik yang relevan dan berdaya saing, pengantarabangsaan, peluasan jaringan strategik serta pengukuhan hubungan universiti-industri-masyarakat.
Pelantikan kedua-dua tokoh berkenaan hadir pada detik signifikan ketika UMT meraikan Jubli Perak 25 Tahun dengan tema “Menerajui Agenda Ekonomi Biru Negara”.
Memasuki fasa baharu selepas 25 tahun penubuhannya, UMT terus memperkukuh kedudukannya sebagai sebuah universiti yang mempunyai identiti dan kepakaran tersendiri dalam bidang kelautan dan sumber akuatik, sambil memperluas sumbangannya kepada pembangunan bakat, penyelidikan dan inovasi, industri serta masyarakat.
Gabungan pengalaman Prof. Dr. Suriyani dalam kepimpinan akademik, ekonomi dan pengantarabangsaan serta pengalaman Prof. Ts. Dr. Noor Maizura dalam akademik, jaringan strategik dan pendigitalan dijangka memperkukuh barisan kepimpinan UMT dalam meneruskan agenda pembangunan universiti.
Kepimpinan baharu itu juga akan menjadi pemangkin kepada usaha UMT memperkukuh kecemerlangan akademik, meningkatkan impak penyelidikan dan inovasi, memperluas jaringan global serta memastikan kepakaran universiti terus memberikan nilai dan sumbangan bermakna kepada masyarakat dan negara.