Selasa, 02/09/2025
Share This Article :
KUALA NERUS, 2 September – Seawal jam 7.30 pagi, suasana di perkarangan kampus Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sudah pun meriah dengan kehadiran lebih 400 peserta yang tidak sabar untuk memulakan langkah dalam program Brisk Walk Merdeka@UMT 2025.
Dengan berpakaian tema yang berwarna-warni, ada yang lengkap dengan aksesori Jalur Gemilang, program ini benar-benar membangkitkan suasana penuh semangat patriotik.
Pengarah Pejabat Komunikasi Korporat UMT, Zukiferee Ibrahim selaku penganjur program menyifatkan aktiviti seumpama itu merupakan julung kali diadakan.
“Alhamdulillah, walaupun penganjuran ini merupakan antara yang pertama sempena sambutan bulan kebangsaan, namun kita menerima respon yang positif dan penyertaan yang amat menggalakkan daripada warga UMT yang mana terdiri daripada kakitangan dan juga pelajar”
Detik paling ditunggu-tunggu tiba apabila Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim sendiri mengumumkan senarai pemenang cabutan bertuah. Riuh rendah sorakan kedengaran setiap kali nombor bertuah dipanggil.
Daripada 20 hadiah yang disediakan, hadiah utama sebuah basikal dewasa menjadi rebutan dan akhirnya dimenangi oleh seorang staf yang nyata tidak menyangka rezeki berpihak kepadanya.
Selain itu, pelbagai hadiah lain seperti jam pintar, barangan elektrik, bakul makanan asas, jersi dan tumbler turut menceriakan peserta yang bertuah.
Menariknya, dua peserta turut menerima pengiktirafan khas sebagai pemenang kategori pakaian terbaik lelaki dan perempuan kerana tampil dengan kreativiti tersendiri dalam menggayakan semangat kemerdekaan melalui busana mereka.
“Seronok bila dapat berkumpul ramai-ramai begini. Bukan sahaja untuk beriadah, tapi dapat juga eratkan hubungan dengan warga UMT lain,” kata Siti Nurain Muhmad, salah seorang peserta program.
Lebih daripada sekadar acara riadah, Brisk Walk Merdeka@UMT 2025 membuktikan bahawa warga UMT sentiasa bersemangat dan bersatu hati dalam menghayati bulan kemerdekaan. Setiap langkah yang diatur hari ini bukan sahaja menyihatkan tubuh, malah mengeratkan silaturahim dan menyemarakkan rasa cinta terhadap tanah air.