Selasa, 09/09/2025
Share This Article :
KUALA NERUS, 8 Sept. – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh reputasinya sebagai universiti berfokuskan marin apabila menjadi tuan rumah kepada 5th International Conference on Social and Economic Development (ICSED 2025) yang berlangsung selama dua hari, di sini.
Bertemakan Navigating the Blue Economy for Future Generations, persidangan itu menghimpunkan pakar akademik, penyelidik, pengamal industri dan pembuat dasar dari dalam dan luar negara bagi mencari solusi terbaik dalam usaha menangani isu kelestarian pembangunan, khususnya yang berkaitan dengan ekonomi biru.
Mewakili UMT dalam ucapan perasmian, Pro Vice-Chancellor (Strategy, Performance and Corporate), Profesor Ts. Dr. Mohd Fadzil Mohd Akhir menekankan kepentingan persidangan itu sebagai wadah pertukaran ilmu merentas sempadan dalam merealisasikan agenda pembangunan global global yang mampan.
“Sebagai universiti berfokuskan marin, UMT memainkan peranan penting dalam penyelidikan, inovasi dan advokasi dasar yang berkaitan dengan sumber laut, perikanan, tadbir urus samudera serta industri maritim,” katanya.
Beliau turut memperkenalkan penubuhan Blue Economy Advancement Centre (UMT Beacon) iaitu sebuah inisiatif strategik universiti yang berfungsi memperkukuh penyelidikan, perundingan dan pembangunan kapasiti dalam bidang ekonomi biru.
“UMT Beacon merupakan inisiatif awal UMT yang berpotensi bertindak sebagai hab serantau kecemerlangan ekonomi biru yang memastikan pembangunan sumber marin dan pesisir pantai dilaksanakan secara mampan serta memberi manfaat kepada kelestarian alam sekitar, keselamatan makanan dan kesejahteraan sosio-ekonomi masyarakat”
Menurutnya, platform itu penting untuk para sarjana, pengamal industri dan pembuat dasar membentangkan penyelidikan berimpak tinggi, berkongsi pandangan serta meneroka solusi inovatif demi pertumbuhan mampan.
Antara tokoh antarabangsa yang turut serta menyampaikan ucaptama ialah Profesor Dato’ Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera (Deputy Vice Chancellor Academic, Universiti Sultan Azlan Shah), Dr. Ben Milligan (Director UNSW Centre for Sustainable Development Reform, Australia), Profesor Matthew Tan (APEC Policy Partnership on Food Security, Singapura), serta Profesor Dr. Ir. Jangkung Raharjo dari Telkom University, Indonesia.