UMT Raih Pengiktirafan 6-Bintang Talentbank

Isnin, 30/3/2026

Kongsikan Artikel Ini:

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sekali lagi mengukir
pencapaian membanggakan apabila diiktiraf sebagai antara institusi peneraju
kebolehpasaran graduan negara menerusi Talentbank Graduate Employability Index
2026, satu penanda aras nasional yang dinilai secara langsung oleh majikan industri di
Malaysia.

Pengiktirafan itu membawa makna besar apabila ia mencerminkan tahap keyakinan
tinggi majikan terhadap kualiti graduan UMT, khususnya dari segi kesediaan memasuki
alam pekerjaan, kecekapan profesional serta prestasi kerja sebenar di lapangan. Lebih
penting, penilaian turut mengambil kira kecenderungan majikan untuk terus memilih
graduan daripada universiti yang sama, sekali gus menjadi indikator kukuh terhadap
kebolehpercayaan dan nilai tambah graduan UMT di pasaran kerja.

Dalam majlis berkenaan, UMT turut mencatat kejayaan signifikan apabila dua kategori
bidang utama universiti iaitu Agriculture dan Analytics telah dianugerahkan pengiktirafan
berprestij Talentbank 6-Star Employers’ Choice Award. Kedua-dua bidang itu berada
dalam kelompok terbaik negara berdasarkan penilaian lebih 1,200 majikan daripada
pelbagai sektor industri, termasuk syarikat multinasional, GLC dan pemain industri
utama.

UMT terus memperkukuh agenda kebolehpasaran graduan melalui pendekatan
strategik yang digerakkan secara berfokus menerusi Pusat Keusahawanan dan
Kebolehpasaran Graduan (UMT-GEM). Dalam majlis tersebut, UMT telah diwakili oleh
Pengarah UMT-GEM, Prof. Madya Dr. Nor Fazliyana Mohtar, bagi menerima
pengiktirafan mewakili Naib Canselor UMT, sekali gus mencerminkan komitmen
berterusan universiti dalam memperkasa hubungan industri serta mempertingkat daya
saing graduan.

Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim menyifatkan pencapaian itu
hasil usaha kolektif seluruh ekosistem university dalam meletakkan UMT ke tahap yang
lebih baik.

“Pengiktirafan ini membuktikan bahawa pendekatan pendidikan yang berasaskan
pengalaman, kolaborasi industri dan pembangunan kemahiran masa hadapan yang
diterapkan oleh UMT berada pada landasan yang tepat,” ujar beliau.

Menurutnya, UMT akan terus memperkukuh sinergi bersama industri melalui pelbagai
inisiatif berimpak tinggi bagi memastikan graduan yang dilahirkan kekal relevan, adaptif
dan berupaya menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara.

“Kerjasama antara UMT dan Talentbank ini turut membuka ruang jaringan strategik yang
lebih luas, menghimpunkan pelbagai organisasi terkemuka dalam satu ekosistem

kerjasama yang dinamik. Ini bukan sahaja memperluas peluang penempatan kerjaya
graduan, malah memperkukuh pembangunan bakat secara lebih tersusun dan berimpak
tinggi”.
Katanya, pencapaian itu membuktikan keberkesanan pelan strategik yang dirangka dan
gerak kerja berada pada landasan yang tepat.

“Kejayaan dikecapi ini mencerminkan keberkesanan pendekatan holistik universiti dalam
membangunkan kebolehpasaran graduan melalui integrasi pembelajaran berasaskan
pengalaman, kolaborasi strategik industri serta pengukuhan nilai keusahawanan dalam
kalangan mahasiswa.

“Usaha ini juga selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM)
2026–2035, khususnya Lonjakan 1 yang menekankan pembangunan pembelajar
berpaksikan kemanusiaan, berciri keusahawanan dan adaptif. Seiring dengan itu,
kejayaan ini dilihat sebagai pemangkin kepada UMT untuk terus mempergiat usaha
dalam memperkukuh agenda kebolehpasaran graduan dan keusahawanan pelajar
secara lebih agresif dan berstrategi”. Katanya.