UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Dilantik Naib Canselor UMT Keenam

Thursday, 25/7/2024

Share This Article :

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dilantik sebagai Naib Canselor universiti itu yang keenam bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Ogos 2024 hingga 31 Julai 2026.

Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri, 53, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari University of Sunderland, United Kingdom pada tahun 1995, Ijazah Sarjana dari University of Warwick, United Kingdom pada tahun 1997 dan Ijazah Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2006 dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.

Memulakan perkhidmatan di UMT sejak 1998 sebagai pensyarah muda. Ketokohan dan bakat dalam bidang akademik terus menyerlah menyebabkan beliau diberi kepercayaan memegang pelbagai jawatan pentadbiran, antaranya Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UMT pada tahun 2010; Pengarah Makmal Pusat UMT pada tahun 2012; juga sebagai Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan dan Informatik UMT pada tahun 2019 sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT pada tahun 2020.

Pelantikan beliau sebagai Naib Canselor UMT  dilihat bakal meneruskan agenda pemerkasaan UMT sebagai peneraju utama bidang ilmu kelautan dan sumber akuatik negara, sekali gus mampu memacu pembangunan ekonomi komuniti menerusi Dasar Ekonomi Biru (Blue Economy).

Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri  ketika ditemui merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir atas kepercayaan yang diberikan untuk terus menerajui UMT.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih dan syabas kepada mantan Naib Canselor UMT, Dato’ Prof. Dr. Mazlan bin Abd. Ghaffar atas perkhidmatan dan sumbangan cemerlang beliau sepanjang menerajui UMT sebelum ini.

Mohd Zamri  turut menyeru warga UMT agar sama-sama berganding bahu dalam meningkatkan lagi keterlihatan universiti ke persada antarabangsa serta meletakkan nama UMT sebaris dengan nama universiti terkemuka lain.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu