Ahad, 28/09/2025
Share This Article :
KUALA TERENGGANU, 27 September 2025 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh reputasinya sebagai universiti peneraju bidang kelautan dan maritim apabila melancarkan sebuah pusat penyelidikan inovasi tenaga boleh diperbaharui Centre for Offshore Renewable Energy (CEFORE) berimpak tinggi yang dijangka memberi manfaat besar kepada komuniti setempat serta menyumbang kepada usaha kelestarian global.
Majlis perasmian CEFORE telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, yang menzahirkan penghargaan atas usaha UMT bersama PETRONAS dalam memperkukuh agenda tenaga lestari negara.
Penubuhan CEFORE adalah hasil kerjasama strategik antara UMT dan PETRONAS yang disifatkan sebagai sinergi terbaik menggabungkan kepakaran akademia dan industri dalam memacu agenda tenaga lestari negara.
Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata Terengganu memiliki kedudukan geografi yang strategik dan kaya dengan sumber semula jadi, khususnya aliran angin berterusan, sekali gus berpotensi besar untuk menjadi peneraju pembangunan tenaga boleh diperbaharui negara.
“CEFORE bukan sekadar pusat penyelidikan, sebaliknya ia merupakan platform dinamik Industry on Campus yang membolehkan pelajar, penyelidik dan rakan industri bekerjasama secara langsung dalam menjana penyelesaian praktikal kepada cabaran tenaga negara,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran itu.
CEFORE akan memberi fokus kepada pelbagai bidang tenaga baharu termasuk tenaga angin, ombak, arus pasang surut, solar terapung, hidrogen hijau serta teknologi penyimpanan tenaga. Pusat ini turut berfungsi sebagai fasiliti Proof of Operation yang akan menguji keberkesanan sistem dalam keadaan operasi sebenar meliputi aspek prestasi, keselamatan, kebolehpercayaan dan kecekapan.
Ujar Prof. Zamri, CEFORE bakal menjadi rakan strategik negara dalam mempercepatkan pembangunan tenaga boleh diperbaharui sejajar dengan Pelan Induk Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Usaha ini akan meletakkan Malaysia sebaris dengan negara-negara maju dalam transformasi tenaga hijau global”.
Sementara itu, Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh dalam ucapannya menegaskan bahawa kerjasama dengan UMT menerusi penubuhan CEFORE mencerminkan komitmen PETRONAS untuk menyokong aspirasi negara dalam mempercepatkan peralihan tenaga.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha PETRONAS untuk memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam landskap tenaga global yang semakin mencabar. Dengan sokongan kepakaran penyelidikan UMT, CEFORE akan menjadi pemangkin kepada pembangunan tenaga boleh diperbaharui, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam transformasi tenaga hijau di rantau ini,” katanya.
“Lebih penting, projek ini bukan sahaja menyumbang kepada matlamat neutral karbon negara, tetapi juga membawa manfaat nyata kepada komuniti tempatan, selari dengan aspirasi kami untuk mewujudkan kesejahteraan bersama,” tambah beliau.
Selain memperkukuh penyelidikan, UMT turut memperkenalkan program baharu iaitu Ijazah Sarjana Muda Teknologi Tenaga Boleh Diperbaharui, dengan kumpulan pelajar sulung seramai 40 orang akan memulakan pengajian pada Oktober 2025. Inisiatif itu diharap melahirkan graduan berpengetahuan tinggi, bersedia menyokong pertumbuhan ekonomi hijau negara.
Lebih signifikan, kewujudan CEFORE juga dijangka memberi impak sosioekonomi positif kepada komuniti setempat khususnya nelayan dan penduduk sekitar melalui pemindahan ilmu, pembangunan modal insan serta peluang edu-pelancongan.
UMT optimis, melalui sokongan komuniti, industri serta agensi berkaitan, CEFORE bukan sahaja akan menyumbang kepada pencapaian sasaran neutral karbon negara menjelang 2050, malah memperkukuh peranan Terengganu dan Malaysia sebagai hab kecemerlangan maritim dan tenaga lestari serantau.
Dikeluarkan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu