UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT Perkenal 3 Program Baharu Sesi Akademik 2025/2026

Selasa, 30/09/2025

Share This Article :

Kuala Nerus, 28 September 2025 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima seramai 2,105 pelajar baharu bagi kemasukan Sesi Akademik 2025/2026, melibatkan 36 program pengajian di bawah tujuh fakulti.

Daripada jumlah tersebut, seramai 15 orang merupakan pelajar antarabangsa yang datang dari pelbagai negara termasuk Maldives, India, Indonesia, Bangladesh, Sudan, Tanzania, Timor-Leste dan Kenya bagi mengikuti pengajian peringkat Sarjana Muda.

Naib Canselor UMT, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, proses pendaftaran yang bermula seawal jam 8 pagi berjalan lancar seperti yang dirancang.

Menurut beliau, UMT sentiasa bersedia menyambut kehadiran pelajar baharu dengan menyediakan kemudahan penginapan yang mencukupi, selain keperluan asas lain termasuk bilik pengajaran dan pembelajaran, makmal moden serta kafe yang selesa bagi memastikan kebajikan pelajar terjamin sepanjang tempoh pengajian.

Tambahnya pada sesi ini, UMT turut memperkenalkan tiga program baharu iaitu Sarjana Muda Teknologi Tenaga Boleh Diperbaharui dengan Kepujian, Sarjana Muda Teknologi Elektrik (Tenaga dan Kuasa) dengan Kepujian serta Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Maritim) dengan Kepujian (Dual Degree).

Penawaran program baharu ini selaras dengan keperluan semasa negara dan dijangka dapat melahirkan lebih ramai tenaga pakar dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, teknologi elektrik dan maritim pada masa hadapan.

Bagi membantu pelajar menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus, Minggu Jalinan Mesra (MJM) akan dilaksanakan mulai 28 September hingga 4 Oktober 2025.

Naib Canselor turut menzahirkan penghargaan kepada semua pelajar yang memilih UMT sebagai destinasi menimba ilmu dan berharap mereka dapat menyesuaikan diri dengan baik serta memanfaatkan sepenuhnya peluang yang tersedia sepanjang berada di universiti ini.

Sementara itu, Farzana Nur Shakilla, 20,  yang juga salah seorang pelajar yang baharu mendaftar bagi mengikuti program Sarjana Muda Kaunseling Dengan Kepujian berkata proses pendaftaarn di UMT sangat mudah dan mesra pelajar.

“Proses pendaftaran di UMT berjalan dengan mudah dan lancar. Staf yang mesra membuatkan saya rasa sangat selesa. Terima kasih UMT kerana menerima kami dengan penuh mesra.”

Selain kampus induk di Kuala Nerus, UMT turut mempunyai kampus kedua di Bukit Kor, Marang yang akan memulakan kuliah pada 5 Oktober 2025. Kampus tersebut menempatkan seramai 332 pelajar bagi mengikuti tiga program pengajian di bawah Fakulti Sains Makanan dan Agroteknologi melibatkan 28 kursus pengajian. Segala kemudahan kuliah dan makmal pengajaran di kampus tersebut juga telah disediakan sepenuhnya untuk kegunaan pelajar baharu.

Seiring dengan itu, UMT turut menitikberatkan kebajikan pelajar melalui beberapa bentuk bantuan awal pendidikan dan sokongan asas bagi meringankan beban kewangan mereka.

Antara inisiatif yang disediakan termasuk bantuan Bingkas Kasih iaitu bantuan yuran kemasukan berjumlah RM200 seorang, bantuan Zakat Al Amin yang merupakan bantuan kebajikan sebanyak RM500 seorang. Manakala Yayasan Perkasa Siswa KPT pula menyediakan bantuan awal pendidikan sebanyak RM1000 seorang (bagi kes terpilih). Turut disediakan bantuan keperluan asas berupa barangan kering, kelengkapan harian dan sokongan logistik.

Usaha ini mencerminkan keprihatinan UMT dalam memastikan pelajar dapat meneruskan pengajian dengan lebih selesa dan terjamin kebajikannya.

 

Disediakan oleh:

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

28 September 2025