Ahad, 09/11/2025
Share This Article :
KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh peranannya sebagai universiti berteraskan kelautan apabila menjadi institusi peneraju dalam Konsortium Logistik Malaysia (MLC).
Majlis pelancaran MLC telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Yang Berhormat Datuk Ts. Mustapha Sakmud sempena sesi Higher Education Institutions–Industry Summit (HEIS) bagi program Festival of Ideas (FOI) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Inisiatif itu menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dan industri melalui pendekatan penyelidikan berimpak, pemindahan teknologi serta pembangunan bakat dalam bidang logistik dan rantaian bekalan.
Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata peranan besar UMT dalam konsortium berprestij itu membuktikan keupayaan universiti tersebut untuk memanfaatkan kepakaran sedia ada dalam bidang maritim dan logistik bagi menyumbang kepada keperluan strategik negara.
“MLC atau MRI3: Logistik Konsortium sebuah inisiatif strategik di bawah MOHE Research and Industry-Infused Incubator (MRI3) yang diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“UMT memiliki kekuatan tersendiri dari segi kepakaran akademik, penyelidikan, kemudahan makmal serta peralatan terkini yang mampu menyokong pembangunan penyelesaian inovatif dalam sektor logistik dan maritim.
Melalui MLC, kita bukan sahaja memperkukuh jaringan kolaborasi antara universiti, industri dan agensi kerajaan tetapi turut menyumbang kepada agenda kebangsaan dalam meningkatkan kecekapan rantaian bekalan dan keselamatan logistik maritim negara,” katanya.
Beliau menambah bahawa UMT kini mempunyai kemudahan penyelidikan dan operasi bertaraf antarabangsa seperti Marine Operations Centre (MOC), Pusat Instrumentasi Oseanografi (INOS), Makmal Automasi dan Analisis Data serta kemudahan simulasi logistik pintar yang kesemuanya memainkan peranan penting dalam membangunkan penyelesaian teknologi berasaskan data dan automasi.
Sebagai universiti yang menumpukan bidang tujahan marin dan sumber akuatik, UMT mampu menyumbang secara signifikan dalam aspek logistik maritim pengurusan pelabuhan, pengangkutan pintar dan logistik hijau yang selaras dengan matlamat pembangunan mampan negara.
“Kita mahu memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam sektor logistik serantau. Justeru, penyelidikan UMT akan terus memberi fokus kepada pembangunan teknologi pintar yang dapat meningkatkan kecekapan operasi pelabuhan, pengurusan armada kapal serta mengurangkan pelepasan karbon dalam rantaian logistik,” jelas Prof. Zamri.
Tambah beliau, penglibatan dalam MRI3: Logistik Konsortium bukan sahaja memperkukuh peranan UMT sebagai universiti penyelidikan maritim utama negara, malah membuka ruang luas kepada pelajar dan penyelidik untuk terlibat dalam latihan industri, kolaborasi penyelidikan dan pemindahan teknologi secara langsung dengan pemain industri.
penyertaan aktif dalam Malaysia Logistics Consortium menjadikan UMT sebagain institusi pengajian tinggi utama dalam membina ekosistem logistik negara yang mampan, berdaya saing dan berteknologi tinggi seiring aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kerajaan Malaysia dalam memperkasa sektor logistik sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara serta pelaksanaan Agenda Ekonomi Biru Malaysia 2050.