UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Penyelidik UMT terima geran RM460,000 bagi projek pemuliharaan terumbu karang

Selasa, 11/11/2025

Share This Article :

KUALA NERUS, 10 November – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh reputasinya sebagai peneraju dalam bidang sains marin apabila penyelidiknya, Prof. Madya Dr. Tan Chun Hong dari Fakulti Sains dan Sekitaran Marin (FSSM) berjaya menerima dana antarabangsa sebanyak USD$99,244.00 (kira-kira RM460,000) daripada Coral Research & Development Accelerator Platform (CORDAP).

 

Pembiayaan itu bagi tujuan pelaksanaan projek “Larval-Highway: A Scalable Larval Collection with Targeted Settlement System for Reef Rehabilitation” yang diterajui UMT.

 

Projek perintis itu memperkenalkan “Larval-Highway”, yang merupakan kaedah baharu dengan kos rendah dan mesra alam yang direka untuk mempercepatkan proses pemulihan terumbu karang secara terus di lautan.

 

Kaedah itu dibangunkan berasaskan lebih lima tahun penyelidikan berkaitan karang di Pulau Bidong, di mana sistem ini berfungsi dengan mengumpul dan melepaskan anak-anak karang secara semula jadi.

 

Pendekatan yang mesra alam semula jadi itu membolehkan pemulihan karang berskala besar dijalankan dengan jejak karbon yang minima di samping memberi peluang kepada komuniti tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk terlibat secara aktif dalam usaha pemulihan ekosistem marin.

 

Pelaksanaan projek akan dimulakan di Pulau Bidong sebagai tapak utama penyelidikan dan ujian teknologi sebelum diperluaskan ke Pulau Redang yang akan menjadi lokasi bagi penglibatan komuniti setempat serta pelaksanaan program latihan pemulihan karang.

 

Projek itu turut dilaksanakan dengan kerjasama strategik bersama Prince of Songkla University (Hatyai, Thailand) dan Reef Check Malaysia dengan menggabungkan kepakaran serantau dalam ekologi karang serta kaedah pemuliharaan berasaskan komuniti.

 

Menurut Prof. Madya Dr. Tan Chun Hong, kejayaan menerima dana CORDAP itu merupakan satu pengiktirafan terhadap kepakaran penyelidik UMT dalam bidang ekologi karang tropika dan pemuliharaan marin.

 

“Larval-Highway direka bagi memperkasa pemulihan karang secara semula jadi dengan menggunakan kuasa arus laut untuk menyebarkan larva ke kawasan terumbu yang terjejas. Dengan kos yang rendah dan impak karbon yang minimum, sistem ini mampu menjadi model pemulihan karang mampan bukan sahaja untuk Malaysia tetapi juga rantau Asia Tenggara,” katanya.

 

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim menzahirkan rasa bangga atas kejayaan tersebut yang menurutnya selaras dengan aspirasi universiti untuk menjadi pusat rujukan global dalam bidang sains marin tropika.

 

“Kejayaan Dr. Tan membuktikan bahawa UMT memiliki tenaga pakar bertaraf antarabangsa dan mampu bersaing dalam penyelidikan global yang memberi impak terhadap kelestarian sumber marin. Ini juga memperkukuh peranan UMT dalam menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 14): Kehidupan di Bawah Air” ujar beliau.

 

CORDAP merupakan platform antarabangsa di bawah inisiatif global G20 yang menyokong penyelidikan dan pembangunan teknologi bagi mempercepatkan pemulihan terumbu karang di seluruh dunia. Hanya projek yang mempunyai potensi tinggi untuk memberi impak global terhadap konservasi marin dipilih menerima dana berprestij itu.

 

Pelaksanaan projek “Larval-Highway” bukan sahaja memperkukuh kedudukan UMT sebagai peneraju penyelidikan marin di rantau ini, malah turut menyumbang secara langsung kepada usaha pemuliharaan karang di kawasan Segi Tiga Terumbu Karang (Coral Triangle) yang menjadi salah satu kawasan biodiversiti marin terkaya di dunia.

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu