UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Perubahan iklim global jadi isu utama penyelidik UMT

Perubahan iklim global jadi isu utama penyelidik UMT

Tuesday, 05/12/2023

Share This Article :

Perubahan iklim dan pemanasan global merupakan isu global yang semakin serius dalam masyarakat dan ekosistem kita. Kesannya, termasuk fenomena cuaca ekstrem, kenaikan paras laut dan ketidakseimbangan ekosistem telah menjadi isu utama dibahaskan di peringkat dunia.

Perubahan iklim merujuk kepada perubahan jangka panjang dalam pola cuaca dan suhu global dan ia dapat dinilai samada terdapat peningkatan atau penurunan suhu secara kolektif. Faktor utama yang menyebabkan perubahan iklim adalah terdapat peningkatan pelepasan gas rumah hijau ke atmosfera.

Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada pemanasan global seperti pembakaran bahan bakar fosil, aktiviti pembalakan secara tidak terkawal, pembakaran hutan secara terbuka dan lain-lain.

Kesan drastik akibat perubahan iklim seperti kenaikan paras laut akibat pencairan ais di kutub utara dan selatan, peningkatan cuaca ekstrem seperti taufan, banjir dan kemarau berpanjangan.

Selain itu, ketidaktentuan iklim juga menggangu ekosistem yang boleh mengancam hidupan dan mengakibatkan kepupusan spesis.

Perubahan iklim berupaya mengancam kelestarian pelbagai ekosistem. Antaranya terumbu karang, hutan hujan serta habitat laut lain turut menghadapi tekanan ekstrem akibat pemanasan global dan keasidan laut. Kehilangan habitat ini boleh mengakibatkan kepupusan spesies.

Pemanasan global bukan hanya memberi kesan terhadap haiwan dan tumbuhan, malah mengancam kehidupan manusia seperti meningkatkan risiko penyakit demam denggi dan malaria, gelombang haba dan situasi buruk  yang boleh membahayakan kesihatan manusia dan meningkatkan risiko kecederaan.

Isu pemanasan global dan perubahan iklim sering diketengahkan oleh penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Justeru, pelbagai inisiatif dilaksanakan dalam usaha menangani serta mengurangkan impak pemanasan global yang dijangka berterusan memberi pelbagai kesan buruk.

Baru-baru ini Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama erat Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) mengambil langkah proaktif dalam meletakkan Malaysia sebagai negara yang turut prihatin terhadap perubahan iklim global dengan melaksanakan kerja penyelidikan berkaitan Antartika.

Melalui penubuhan Kursi Sains Antartika dan melantik Profesor Dr. Martin J. Siegert dari Imperial College, United Kingdom diangkat sebagai Penyandang Kursi Sains Antartika atas kepakaran beliau berkaitan bidang geologi dan glasiologi. Langkah itu merupakan salah satu strategi untuk menjadikan sumbangan Malaysia dalam penyelidikan sains Antartika lebih signifikan dan diiktiraf oleh Triti Antartika yang bertanggungjawab dalam menjaga hal ehwal Antartika.

Selain itu, menerusi Intitut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) UMT, sekumpulan penyelidik telah memperkenalkan Sistem Ramalan Marin Malaysia (MFAST) yang pertama seumpamanya menawarkan ramalan lima hari bagi data arus, gelombang dan suhu lautan untuk kegunaan semua sektor termasuk rekreasi, pelancongan, perikanan, penyelamatan, perkapalan serta industri minyak dan gas.

Penyelidikan UMT dikembangkan lagi ke beberapa potensi lain seperti pangkalan data untuk memantau hidupan laut khususnya penyu.

Turtle Imprinting Database System (TIDES) bertindak sebagai pangkalan data yang boleh diakses oleh semua organisasi pemuliharaan penyu untuk menjalankan program ‘Adoption’ dengan lebih lancar.

TIDES juga bertindak sebagai medium bagi sektor kerajaan atau NGO lain untuk mendapatkan data terkini dan memantau trend pendaratan penyu di Malaysia.

Perubahan iklim dan pemanasan global adalah isu global yang memerlukan perhatian segera dan tindakan berkesan. Ia memerlukan kefahaman, kesedaran, pendidikan dan gaya hidup serta usaha bersama secara global bagi melindungi planet ini untuk generasi akan datang.

Disediakan oleh :

 

Amirul Salam Hasan

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu