Khamis, 06/11/2025
Share This Article :
PUTRAJAYA, 4 November 2025 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuh jaringan strategik dengan industri tempatan dan antarabangsa apabila menjalin dua kolaborasi penting melalui pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dengan KST Plant Sdn. Bhd. dan Nico Co. (Korea) Ltd.
Majlis pertukaran dokumen MoU itu diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC) sempena Festival of Ideas yang turut dihadiri oleh wakil-wakil industri, penyelidik dan pegawai kanan universiti. Inisiatif itu membuktikan komitmen berterusan UMT dalam memperluas bidang penyelidikan, inovasi dan pemindahan teknologi, khususnya dalam sektor maritim dan tenaga boleh diperbaharui.
Kerjasama dengan KST Plant Sdn. Bhd. Pula dijangka memberi tumpuan kepada pemindahan teknologi dari Korea dalam bidang teknologi tenaga boleh diperbaharui selain memperkukuh penyelidikan dalam bidang maritim. Usaha itu dilihat sebagai langkah strategik ke arah menerapkan teknologi hijau yang menyokong aspirasi pembangunan mampan dan ekonomi rendah karbon di Malaysia.
Sementara itu, kolaborasi dengan Nico Co. (Korea) Ltd membuka ruang kepada pelaksanaan aktiviti penyelidikan bersama dan perkongsian teknologi berimpak tinggi, melibatkan bahan-bahan berprestasi seperti KCC (KST Chromized Carbide), KNN (KST Nano Nitriding), KINC (KST Inorganic Nano Ceramic) dan KZC (KST Zinc Ceramic).
Menurut Prof. Madya Ts. Dr. Nurul Haqimin Mohd Salleh, Timbalan Pengarah Pusat Pemindahan Ilmu, Jaringan Industri dan Masyarakat (PPIJIM) UMT, kolaborasi strategik itu adalah satu lonjakan penting dalam membina jambatan antara universiti dan industri, bukan sahaja untuk memperkukuh kapasiti penyelidikan tetapi juga bagi memperkasa pembangunan modal insan.
“Kerjasama ini bukan sahaja memperluas keupayaan penyelidikan UMT dalam bidang teknologi maritim dan tenaga boleh diperbaharui, malah menjadi platform kepada pemindahan pengetahuan dan kemahiran antara akademia serta pihak industri. Inisiatif sebegini akan memastikan universiti kekal relevan dengan keperluan teknologi semasa dan seterusnya menjadikan UMT sebagai pusat rujukan serantau dalam sains maritim dan kelestarian,” katanya.
Kedua-dua MoU itu mencerminkan kesungguhan UMT dalam memperkukuh hubungan antara universiti dengan industri bagi memastikan penyelidikan dan inovasi universiti terus memberi impak yang nyata kepada masyarakat, industri dan negara.
Dikeluarkan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu