BESUT – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meneruskan Projek Translasional Kuda Laut bersama komuniti Kampung Air Tawar bagi siri seterusnya rentetatan pelancaran program tersebut pada Julai tahun lalu.

Menurut Prof. Dr. Mohd Effendy Abd. Wahid, Malim Kluster Bioteknologi dan Bahan-Bio Marin berkata projek translasional kuda laut mampu memberi pulangan pendapatan kepada komuniti setempat.

“Projek ini mendapat sambutan amat menggalakkan daripada komuniti setempat. Setakat ini, 50 orang peserta yang berjaya mengikuti kursus asas yang kita anjurkan meliputi kelas bimbingan teori dan praktikal”.

“Bagi siri ini, peserta projek terdiri daripada beberapa pelbagai peringkat umur yang boleh dikelaskan mengikut pecahan iaitu 25% golongan wanita dan ibu tunggal, 60% nelayan belia dan 15% nelayan yang berusia 51 tahun ke atas”.

“Kita juga menawarkan program ini kepada komuniti berbangsa siam yang menetap di Besut untuk bersama-sama menyumbang kepada usaha pemuliharaan kuda laut ini”.

Ujar beliau, sebanyak RM 500.00 insentif diberikan kepada setiap perserta pada setiap bulan bagi mengusahakan kuda laut tanpa mengeluarkan sebarang kos permulaan.

Hasnah Awang, 56 yang juga merupakan peserta projek berkata program seperti ini sangat diperlukan oleh penduduk di sini yang rata-rata bekerja sebagai nelayan.

“Insentif yang diberikan melalui projek ini sangat membantu kami memandangkan komuniti di sini tidak mempunyai pendapatan tetap. Dengan adanya insentif serta bantuan kursus yang diberikan secara percuma oleh pihak UMT amat memberi kesan yang besar bagi menampung perbelanjaan keluarga”.

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar, Naib Canselor UMT berkata projek pemindahan ilmu kepada komuniti seperti ini amat penting bagi mewujudkan kesedaran keterlihatan UMT diperingkat komuniti serta sebagai sumbangan UMT kepada komuniti sekitar.

 

Untuk keterangan lanjut :

Prof. Dr. Mohd Effendy Abd. Wahid

Malim Kluster Bioteknologi dan Bahan-Bio Marin

Pusat Pengajian Sains Perikanan dan Akuakultur

Universiti Malaysia Terengganu.

Tel : 09-6685160

Emel : effendy@umt.edu.my

 

 

Dikeluarkan oleh :

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu