Tarikh 10 Zulhijjah dalam kalendar islam mempunyai makna yang cukup besar buat seluruh umat Islam di dunia ini dimana Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban disambut oleh semua muslim.

Di samping itu, perayaan ini turut dikenali sebagai Hari Raya Haji sempena umat islam yang sedang menunaikan ibadah haji di tanah suci Mekah.

Bersempena dengan perayaan tersebut, umat islam akan melakukan ibadat korban bagi memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail a.s kerana taat kepada perintah Allah. Peristiwa ini telah dirakamkan oleh Allah SWT sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah As-Saffat, ayat ke -102.

Rentetan dari peristiwa itu, saban tahun ketika merayakan hari raya Aidiladha maka umat islam menyembelih binatang al-an’am atau binatang berkaki empat serta jinak seperti unta, lembu, kambing dan biri-biri pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah setiap tahun hijrah. Tarikh-tarikh tersebut juga dikenali sebagai Hari Tasyrik yang diharamkan untuk berpuasa bagi umat Islam.

Binatang-bintang korban akan diagihkan kepada golongan-golongan yang berhak seperti orang miskin, anak yatim, orang islam yang sedang ditimpa musibah dan lain-lain lagi. 

Ibadat korban bertujuan untuk mengikis kelekaan umat Islam terhadap keduniaan. Ia juga menilai di antara ketaksuban mencintai harta duniawi atau kesanggupan mengeluarkan sebahagiannya bagi mendapatkan keredaan Allah SWT. SELAMAT MENJALANI IBADAT KORBAN!