UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

“Floating Breakwater” bring benefit to Mengabang Telipot community

"Floating Breakwater" bring benefit to Mengabang Telipot community

Monday, 29/01/2018

Share This Article :

Sebagai sebuah universiti yang berfokuskan Ilmu Kelautan dan Sumber Akuatik yang sentiasa berterusan menjalankan kajian serta penyelidikan berkaitan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah mengambil inisiatif menerusi program “UMT Cakna, UMT Sayang Komuniti Nelayan Pantai Mengabang Telipot” dengan mengadakan sesi dialog bersama-sama komuniti nelayan di  Mengabang Telipot untuk menyatakan hasrat UMT dalam membantu membuat perancangan yang sewajarnya berkenaan lokasi pendaratan bot yang menjadi permasalahan akibat hakisan pantai yang telah berlaku. 

Prof. Dr. Nor Aieni Mokhtar, Naib Canselor UMT dalam ucapannya berkata, warga UMT selaku jiran yang terdekat turut bersimpati dengan fenomena hakisan yang dialami oleh penduduk Mengabang Telipot dan bersedia untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung.

“UMT telah mengambil langkah pro-aktif dengan menubuhkan satu jawatankuasa Task Force Hakisan Pantai  sebagai platform bagi tujuan penyaluran bantuan seperti bantuan sukarelawan, melaksanakan langkah pencegahan yang dikenalpasti bagi mengurangkan impak hakisan, dan memberi taklimat kesedaran mengenai bencana serta kesedaran tentang peranan setiap ahli masyarakat untuk bersiap sedia menghadapi bahaya hakisan pantai”.

“Melalui Jawatankuasa Task Force ini juga, perancangan yang dibuat ialah untuk menyediakan kawasan pendaratan bot melalui konsep inovasi yang dinamakan sebagai Floating Breakwater kepada nelayan di Pantai Mengabang Telipot”. 

Tambahnya lagi, selain digunakan untuk pendaratan bot, Floating Breakwater dapat mengurangkan kebergantungan komuniti nelayan mendaratkan bot di lagun Pantai Tok Jembal yang agak jauh untuk urusan logistik dari tempat kediaman. 

“Projek yang bersifat inovasi ini juga dijangkakan dapat dimanfaatkan bersama dalam aktiviti penyelidikan dan kokurikulum pelajar terutama dalam menjalankan aktiviti air”, ujarnya.

Program yang dihadiri kira-kira 200 orang penduduk kampung sekitar Kg. Tengah, Mengabang Telipot ini turut menerima sedikit sumbangan dari UMT disamping beramah mesra bersama warga kampung dan warga universiti.