UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

“NEGARAKU SEHATI SEJIWA” Diterjemah Warga UMT Melalui Hari Keluarga Merdeka UMT

“NEGARAKU SEHATI SEJIWA” Diterjemah Warga UMT Melalui Hari Keluarga Merdeka UMT

Sunday, 27/08/2017

Share This Article :

KUALA NERUS, 26 Ogos – Seramai 1,500 warga Universiti Malaysia Terengganu berkumpul di dataran Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail untuk bersama-sama memeriahkan Hari Keluarga Merdeka UMT 2017 pada hari ini.

Bertemakan Negaraku Sehati Sejiwa seiring tema sambutan Hari Kemerdekaan peringkat kebangsaan, warga UMT bersatu hati dengan penuh semangat menjayakan dan memeriahkan program-program yang diaturkan oleh Pusat Sukan dan Rekreasi (PSR) UMT pada kali ini.

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Hj. Mokhtar berkata, penganjuran pada tahun ini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan peningkatan jumlah penglibatan warga berbanding sambutan pada tahun sebelumnya dengan penganjuran pelbagai acara sukan mahupun sukan rakyat yang dipertandingkan serta penekanan kejayaan secara holistik terutamanya kepada warga pelajar.

“UMT berbangga dengan kejayaan Azizatul Asma Tan Sri Abdullah, pelajar Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan yang telah memenangi pingat emas bagi acara Endurance Berpasukan dalam SUKAN SEA ke-29 baru-baru ini dan kejayaan ini membuktikan skil dan kredibiliti Asma yang telah dinobatkan sebagai World Junior Rider First Ranking In The World pada tahun 2013 lalu.

“Pelajar ini wajar dijadikan ikon dikalangan pelajar-pelajar lain kerana beliau bukan sahaja cemerlang dalam akademik, juga cemerlang dalam kokurikulum selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi yang memperkenalkan sistem penilaian iCGPA, iaitu satu mekanisme bersepadu pentaksiran, pelaporan pencapaian dan pembangunan pelajar
yang mengambil kira peningkatan adab, keilmuan dan keupayaan mereka”.

“InsyaAllah, UMT juga sedang dalam urusan membeli enam ekor kuda sebagai tanda sokongan dan dorongan kepada warga untuk terus aktif demi pembangunan sahsiah pelajar dan staf UMT”.

“Pelbagai program telah dirangka dan akan dilaksanakan sempena sambutan hari merdeka seperti Hari Keluarga Merdeka UMT, Perbarisan Hari Merdeka, pameran aset-aset ketenteraan dari Angkatan Tentera Malaysia dan kemuncak sambutan merdeka peringkat UMT nanti adalah penganjuran Program Merdeka DIVE UMT 2017”.

Turut hadir pada majlis perasmian Hari Keluarga Merdeka UMT hari ini adalah Azizatul Asma Tan Sri Abdullah, pelajar UMT yang merupakan salah seorang pemenang pingat emas Sukan SEA ke-29 baru-baru ini dalam acara Endurance Berpasukan bersama warga UMT.

 

Dikeluarkan oleh:
Pusat Komunikasi Korporat,
Universiti Malaysia Terengganu.