UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

PECIPTA 2017; Manifestasi Konsep Translasional

PECIPTA 2017; Manifestasi Konsep Translasional

Sunday, 08/10/2017

Share This Article :

Kuala Nerus – Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh telah mengumumkan bahawa 2017 merupakan tahun meraikan konsep penyelidikan translasional; iaitu penyelidikan yang yang memberi hasil dan impak kepada kerajaan, komuniti, industri dan akademia Malaysia dan dunia.

Pelbagai langkah dan usaha diambil dalam pemerkasaan penyelidikan translasional secara berfasa dan berterusan; seperti mengenalpasti penyelidikan-penyelidikan yang memberi impak dan hasil terus kepada rakyat seperti penyelidikan PadiUPutra oleh UPM dan Mangga Harum Manis oleh UniMAP, Projek Belangkas oleh UMT,  Projek Diaryfarm oleh UniSZA, dan antara lain adalah dengan penganjuran ekspo ciptaan dan penyelidikan.

Terkini, KPT dengan usahasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menganjurkan Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa 2017 atau lebih dikenali dengan PECIPTA 2017.

PECIPTA 2017 yang bermula pada 7 sehingga 9 Oktober 2017 memilih Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak sebagai lokasi penganjuran yang strategik dan bersempena Tahun Melawat Negeri Terengganu 2017 (Beautiful Terengganu 2017).

Siri penganjuran PECIPTA telah bermula pada tahun 2001 dimana, PECIPTA merupakan platform mempamerkan hasil ciptaan penyelidikan dan inovasi yang dibangunkan oleh semua Universiti Awam (UA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), politeknik, kolej komuniti dan agensi-agensi berkaitan yang mana, memberi peluang kepada para peserta, ahli akademik dan masyarakat membentuk jaringan kerjasama dan pemindahan ilmu antara satu sama lain.

PECIPTA 2017 kali ini bertemakan “Memupuk Usahawan melalui Pendidikan, Industri, Teknologi dan Inovasi Sosial” menyaksikan penyertaan lebih dari 400 produk reka cipta dan penyelidikan dari dalam dan luar negara seperti Indonesia, Thailand, China, Vietnam, Belgium dan United Kingdom dan bertepatan dengan lokasi penganjuran kali pertama di negeri Terengganu yang terkenal dengan slogan “Negeri Cantik, Budaya Menarik”, PECIPTA 2017 mengalu-alukan kehadiran rakyat dari segenap daerah dan negeri.

Selain pameran reka cipta dan inovasi, turut diadakan adalah Program Penggalakkan Pemindahan Ilmu Universiti – Komuniti yang dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Haji Ahmad Razif Abd Rahman dengan pelbagai pengisian menarik seperti Pertandingan Robotik dari sekolah-sekolah, Pameran Sains, Y.E.S. Explorace, empower Mind Games Challenge, demo produk-produk kreatif  serta jualan kenderaan saji (food truck).

Memeriahkan lagi PECIPTA 2017, pengunjung ke-10,000 dan 20,000 berpeluang membawa pulang produk iPad jenama Apple sebagai tanda kenang-kenangan sempena penganjuran PECIPTA 2017.