KUALA BERANG – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bakal menerbitkan buku khas berkaitan sejarah dan warisan Tasik kenyir.

 

Menurut Dr. Nor Hayati Sa’at, Timbalan Pengarah Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari (IBTPL) berkata peninggalan sejarah dan warisan Tasik Kenyir mempunyai nilai yang tinggi untuk ditonjolkan kepada masyarakat umum.

 

“Bagi merealisasikan penerbitan ini, pihak IBTPL UMT menganjurkan pertandingan melukis dan menulis esei terbuka kepada pelajar sekolah rendah dan menengah di sekitar Hulu Terengganu dan alhamdulillah berjaya menarik minat 232 orang peserta bagi menterjemahkan nilai sejarah yang dimiliki masing-masing”.

 

“Pertandingan ini mempunyai tema tertentu seperti sejarah, tempat-tempat menarik, budaya dan warisan di Hulu Terengganu khasnya di Tasik Kenyir. Buku ini akan ditulis oleh penyelidik dan pensyarah IBTPL dan diterbitkan oleh Penerbit UMT seterusnya akan dipamerkan di pameran-pameran di pelbagai peringkat sama ada daerah, negeri, kebangsaan dan akan juga dijual atas permintaan”.

 

Ujarnya, pertandingan ini berjaya menarik minat 232 orang peserta bagi menterjemahkan nilai sejarah yang dimiliki masing-masing.

 

“Diharapkan aktiviti-aktiviti seumpama ini mampu menyuntik dan menerapkan nilai sejarah dan warisan peninggalan generasi terdahulu di kawasan penempatan mereka”.

 

Suhaimi Kamar, pelajar Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Pasir Tinggi dinobatkan sebagai johan bagi kategori melukis.

 

“Pengorbanan hampir seminggu untuk mencari idea bagi menyiapkan lukisan ini berbaloi. Lukisan yang saya hasilkan dengan gabungan menggunakan ranting pokok untuk menjadikan lukisan tersebut seolah-olah tiga dimensi”.

 

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar turut mengulas program seumpama itu penting bagi meningkatkan jati diri dan semangat cintakan tanah air dalam kalangan generasi muda yang merupakan pemimpin pada masa akan datang.

 

Turut hadir bagi menyempurnakan majlis tersebut ialah Azman Othman, Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Pegawai-Pegawai UMT, Pengetua dan Guru Besar sekolah-sekolah daerah Hulu Terengganu.

 

 

Untuk Keterangan Lanjut :

 

Dr. Nor Hayati Sa’at

Timbalan Pengarah (Pembangunan dan Sosioekonomi)

Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari

Universiti Malaysia Terengganu

Tel : 09-6683198

Emel : norhayati@umt.edu.my

 

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu