UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Pameran Antarabangsa “Rahsia Ikan Lut sinar”

Pameran Antarabangsa "Rahsia Ikan Lut sinar"

Wednesday, 16/08/2017

Share This Article :

KUALA NERUS – Hampir 1,000 spesimen ikan lut sinar dalam pelbagai bentuk dan saiz dipamerkan sempena Pameran Ikan Lut Sinar yang buat julung kali diadakan di Malaysia dan merupakan pameran yang ketiga diadakan secara besar-besaran selepas negara Jepun dan Taiwan.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengambil inisiatif ini melalui Pusat Pengajian Sains Perikanan dan Akuakultur (PPSPA) dan Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan (RRC) di bawah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), UMT dengan kerjasama National Museum of Marine Biology and Aquarium (NMMBA), Taiwan.

Pelbagai spesis ikan lut sinar ini dibawa khas daripada negara Taiwan kepada rakyat Malaysia umumnya dengan kerjasama di antara National Museum of Marine biology and Aquarium (NMMBA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Ikan lut sinar yang menarik dan cantik digunakan sebagai satu bahan pameran yang mengandungi elemen pendidikan dan penghayatan seni untuk mendekatkan masyarakat kepada bidang biologi haiwan tersebut.

Penghasilan ikan lut sinar penting untuk pengecaman spesies dan taksonomi ikan, mengenali sejarah evolusi kumpulan ikan dan digunakan secara meluas pada masa kini di universiti untuk tujuan pendidikan dan penyelidikan serta mengkaji hubungan di antara setiap pengkelasan jenis ikan.

Menurut Naib Canselor UMT, YBhg. Prof. Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata “Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mempunyai jalinan kerjasama dengan Muzium Biologi Laut dan Akuarium Nasional (NMMBA) dan Universiti Dong Hwa Kebangsaan dan telah meningkatkan rangkaian yang berterusan untuk manfaat bersama”.

“Banyak program penting seperti latihan pelajar dan pelbagai penyelidikan bersama. Setiap tahun, NMMBA akan memperoleh 3 kerusi untuk pelajar UMT untuk melakukan latihan di NMMBA dan pada masa yang sama, kami mengalu-alukan pelajar NMMBA di UMT”.

“Aktiviti-aktiviti ini mengeratkan hubungan kita dan meningkatkan komitmen untuk kita bekerjasama rapat dengan demi mencapai matlamat bersama kita, iaitu dalam kecemerlangan akademik dan kerjasama penyelidikan.

“Saya percaya pameran ini juga akan memberi inspirasi kepada pelajar dan komuniti di sekitar kita untuk mencintai alam semula jadi dan menyedari kepentingan pemuliharaan marin”.

Merasmikan majlis ialah YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Zakri bin Abdul Hamid, Penasihat Sains Perdana Menteri Malaysia yang turut dihadiri oleh Profesor Dr. Tsai Ching-Hwa, Timbalan (Politik) Menteri Pendidikan Taiwan, Profesor Dr. Chen Chii-Shiarng, Pengarah Besar Muzium Marin Biologi dan Akuarium (NMMBA) Taiwan serta delegasi dari Taiwan dan para pegawai-pegawai utama UMT.

 

Dikeluarkan oleh:

Pusat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu