UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT agih bakul makanan kepada komuniti Orang Asli

UMT agih bakul makanan kepada komuniti Orang Asli

Wednesday, 27/3/2024

Share This Article :

Hulu Terengganu – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah mengagihkan 40 bakul sumbangan Ramadan kepada anak-anak masyarakat Orang Asli di Kg. Sungai Berua melibatkan dana berjumlah lebih RM3,000.

Program Bakul Ramadan@Kg Sungai Berua itu merupakan iniasiatif sekumpulan penyelidik dari Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari (IBTPL) UMT dengan kerjasama dari Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta beberapa rakan strategik dari agensi lain.

Timbalan Pengarah IBTPL UMT, Prof. Dr. Khatijah Omar berkata sempena Ramadan dan Aidil Fitri yang menjelang tiba, program berbentuk kebajikan itu dilihat perlu memandangkan komuniti Orang Asli tersebut beragama islam dan masih memerlukan bantuan.

“Alhamdulillah, kita telah membuat agihan 40 Bakul Ramadan yang di dalamnya diisikan dengan makanan dan minuman serta duit raya untuk meraikan anak-anak pelajar Orang Asli yang terlibat dalam projek ‘Jungle School’ kami.

“Kita berharap dengan adanya bantuan bakul ini sedikit sebanyak dapat membantu menceriakan masyarakat Orang Asli untuk menyambut Ramadan dan Syawal tidak lama lagi.” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin dengan menyalurkan bantuan untuk menjayakan program Bakul Ramadan pada kali ini yang merupakan kali kedua selepas pelaksanaannya pada Ramadan tahun lalu.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMT, Profesor Chm. Dr. Marinah Mohd Ariffin bagi menyerahkan Bakul Ramadan kepada komuniti Orang asli terlibat.

Menurut Prof. Khatijah lagi, ‘Jungle School’ diilhamkan sebagai Projek Sekolah Rimba (Jungle School) dengan tujuan untuk bersama-sama para guru di Sekolah Kebangsaan Sungai Berua, di Hulu Terengganu untuk memupuk minat belajar dalam kalangan anak-anak Orang Asli supaya mereka tidak keciciran dalam dunia pendidikan.

Memperkenalkan konsep pembelajaran santai, beliau berkata slot pembelajaran yang dirangka sebanyak 20 slot meliputi topik Hutan Ini Milik Kita, Pasar Borong, Sing Along, Jom Masuk Hutan, Treasure Hunt & amp; Show and Tell dalam usaha menarik minat anak-anak Orang Asli itu untuk belajar.

 

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu