KUALA NERUS – Kontinjen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dilanda hujan pingat apabila berjaya memungut 13 emas, 8 perak dan 2 gangsa dalam 11 acara pada kejohanan SUKUM ke-43 yang berlangsung selama tujuh hari berakhir 17 Ogos lalu.

 

Pencapaian itu merupakan bilangan pingat paling banyak dipungut oleh kontinjen UMT setakat ini dalam penganjuran SUKUM, menjadikan UMT dinobatkan tempat ketiga secara keseluruhan pada majlis penutup yang diadakan di Universiti Malaysia Pahang yang merupakan tuan rumah bagi penganjuran kali ini.

 

Kesemua 13 pingat emas itu disumbangkan menerusi skuad memanah dengan lima emas, tenis (tiga), badminton (tiga) dan boling padang (dua).

 

Manakala lapan pingat perak berjaya dikumpul oleh pasukan bola sepak senior, memanah, badminton, bola jaring, memancing dan acara basikal.

 

Bagaimanapun, pasukan boling padang UMT sekali lagi menambah koleksi pingat melalui kutipan dua pingat gangsa.

 

Sementara itu, Ketua Kontinjen UMT, Profesor Dr. Nora`Aini Ali berkata kejayaan yang dikecapi oleh barisan atlit SUKUM UMT hasil kerja keras persiapan yang dilakukan oleh pasukan masing-masing beberapa bulan lalu.

 

“Alhamdulillah, kita telah melepasi target apabila berada ditempat ketiga secara keseluruhan acara yang dipertandingkan.

 

“Sekalung tahniah buat barisan atlit yang berhempas pulas bertarung habis-habisan bagi membawa pulang pingat untuk UMT.

 

“Kecemerlangan dan disiplin yang tinggi menjadi kunci kejayaan kontinjen UMT.

 

Menurut Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi UMT, Mohamad Rafee Jusoh selaku urus setia SUKUM peringkat UMT berkata sebanyak 39 penyertaan acara sukan yang disertai oleh kontinjen UMT melibatkan seramai 121 atlit bersaing dengan 21 universiti awam dalam negara.

 

“InsyaAllah, kita meletakkan kejayaan ini sebagai tanda aras baharu bagi UMT dalam kejohanan SUKUM dan pencapaian yang lebih cemerlang diharapkan pada penganjuran SUKUM kali ke-44 yang berlangsung pada 2020 di Sarawak nanti”. Katanya.

 

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada kontinjen UMT atas kejayaan mencipta rekod baharu pada kejohanan kali ini dan pihaknya terus memberi sokongan padu dalam usaha mencipta kejayaan bagi menaikkan imej UMT serta menggalakkan budaya gaya hidup yang sihat.

 

 

Untuk keterangan lanjut:

 

Mohamad Rafee Jusoh

Pengarah

Pusat Sukan dan Rekreasi

Universiti Malaysia Terengganu

Tel : 09-6684830

Emel : rafee@umt.edu.my

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu