UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

MyREN-X Inisiatif Kerajaan Perkasa Pendidikan Masa Hadapan

MyREN-X Inisiatif Kerajaan Perkasa Pendidikan Masa Hadapan

Monday, 16/10/2017

Share This Article :

KUALA NERUS – MYREN-X merupakan Infrastruktur siber berkelajuan tinggi yang mampu mengubah lanskap pendidikan tinggi negara dan seterusnya memenuhi aspirasi nasional dalam mencapai status negara maju.

Internet berkelajuan tinggi ini dengan kecepatan 100 gigabit sesaat (gbps) dapat memacu sektor penyelidikan dan berkeupayaan untuk mengekalkan momentum serta memberi impak positif terhadap produktiviti pembelajaran dan penyelidikan dalam negara.

Menurut penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Mohd Uzair Rusli berkata MYREN-X ini mampu memberi ransangan terhadap momentum kajian yang dilakukan serta meningkatkan motivasi berbanding internet yang berkelajuan rendah yang memerlukan tempoh masa yang lama.

“Penyelidik memerlukan akses internet yang pantas dalam membuat perancangan berkaitan sesuatu penyelidikan yang melibatkan tele sidang, panggilan video serta penghantaran fail penyelidikan yang bersaiz besar kepada ahli kumpulan penyelidik. Selain itu, secara tidak langsung akan mengurangkan kos penyelidikan terutamanya kos pengangkutan dan penghantaran kerana semua maklumat yang diperlukan hanya boleh dilakukan melalui temubual panggilan video”.

Selain itu, Prof. Madya Dr. Mohd Ikmar Nizam Isa pula berkata, para penyelidik perlu terbuka dengan sebarang perubahan yang lebih baik dengan menggunakan peluang dan kemudahan ini sebaiknya kerana masih terdapat ahli akademik yang mempunyai tahap penggunaan IT yang rendah.

“Walaupun MYREN-X mampu membuka ruang mencapai maklumat secara mudah dan pantas, tetapi perlu diingat bahawa ilmu dan penyelidikan merupakan khazanah yang sangat bernilai yang harus dipelihara daripada terlepas kepada pihak luar  kerana sesuatu penyelidikan yang dijalankan memerlukan belanja yang besar dan sekiranya tidak dipelihara, ia akan merugikan negara”.

Secara berperingkat, MYREN-X akan diperluaskan rangkaiannya sehingga meliputi 150 Institusi yang terdiri daripada UA, Universiti Swasta, Politeknik, Kolej Komuniti, hospital & agensi KPT.