UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Setiu Wetland, Terengganu’s Hidden Gem

Setiu Wetland, Terengganu's Hidden Gem

Tuesday, 13/02/2018

Share This Article :

Merupakan sebahagian daripada koridor ekologi (ecological corridor), Tanah Bencah Setiu yang kini diklasifikasikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (ESA) peringkat 1 yang wajar dipelihara dan dipulihara habitat semulajadinya. 
 
Atas rasa kebertanggungjawab yang tinggi, Universiti Malaysia Terengganu telah berganding bahu bersama-sama Sahabat Setiu dan PETRONAS dalam pelbagai projek kemasyarakatan pemuliharaan bermula pada tahun 2004 rentetan tragedi Tsunami yang melanda dunia satu masa dahulu. 
 
Pelbagai usaha telah dijalankan dalam usaha memulihara dan membangunkan Tanah Bencah Setiu baik daripada aspek pembangunan ekonomi komuniti mahupun pemuliharaan biodiversiti tanah bencah. Antaranya adalah Projek Kemasyarakatan Pemuliharaan Paya Laut (PKPPL) di Tanah Bencah Setiu yang mensasarkan penanaman 60,000 pokok bakau sebagai langkah mengatasi masalah kepupusan hutan paya laut dan pembinaan laluan pejalan kaki yang merentasi hutan paya bakau sejauh 500meter hasil inisiatif kerajaan negeri Terengganu. 
 
Menyedari keusangan fasiliti laluan pejalan kaki sedia ada yang telah berkhidmat lebih dari 5 tahun, PETRONAS telah menyumbangkan sejumlah dana bernilai RM1juta bagi membaik pulih infrastruktur boardwalk berkenaan yang kini dikenali dengan nama “Boardwalk Setiu”.
 
Pada 12 Februari 2018, KDYMM Tuanku Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Boardwalk Setiu dan meluangkan masa menyusuri boardwalk dengan diiringi Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail.
 
Turut hadir ke majlis tersebut, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Pegawai Daerah Setiu, Rosdi bin Awang, Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan DiRaja Sultan Mizan, Dato’ Prof. Emeritus Dr. Makhdzir Mardan dan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Dato’ Dr. Nor Aieni Mohktar.