UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

‘Asnaf to Asnaf’ beri impak pelajar sekolah, jana duit sampingan mahasiswa asnaf

‘Asnaf to Asnaf’ beri impak pelajar sekolah, jana duit sampingan mahasiswa asnaf

Monday, 18/3/2024

Share This Article :

Pendidikan adalah tunjang utama dalam pembangunan masyarakat yang berdaya saing. Namun, realiti kehidupan seringkali ‘menyekat’ akses kepada pendidikan yang berkualiti, terutamanya bagi golongan asnaf pelajar sekolah yang mungkin terjejas dengan pelbagai cabaran ekonomi.


Melihat kepada keperluan itu, Pusat Islam Sultan Mahmud Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memperkenalkan inisiatif yang dinamakan sebagai ‘Asnaf to Asnaf’ iaitu program tuisyen yang melibatkan sekumpulan mahasiswa asnaf UMT bertindak sebagai tenaga pengajar kepada asnaf pelajar sekolah yang berada di sekitar kampus.


Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar dalam ucapannya berkata program tuisyen itu memberi peluang kepada pelajar sekolah kategori asnaf untuk mendapatkan bimbingan tambahan dalam pelajaran secara percuma.


“Melalui bimbingan yang diberikan oleh mahasiswa yang lebih berpengalaman, pelajar sekolah dapat memahami konsep-konsep yang diajar dengan lebih mendalam. Ini membantu mereka untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka dan seterusnya memberi peluang untuk mencapai kejayaan dalam pendidikan.


Menurutnya, inisiatif itu bagi membantu asnaf pelajar UMT yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan wang sampingan.


“Objektif program ini antara lain untuk membantu mahasiswa dari keluarga kurang berkemampuan untuk menjadi pembantu guru dengan bayaran saguhati yang bakal diterima hasil daripada sumbangan zakat.


“Dalam masa yang sama membantu murid-murid sekolah rendah yang ketinggalan dari segi pembelajaran serta memberi suntikan motivasi untuk meningkatkan taraf hidup mereka dan keluarga.


Katanya, program kebajikan itu melibatkan 300 pelajar terdiri daripada tiga buah sekolah di daerah Kuala Nerus iaitu SK Tok Jembal, SK Tanjung Gelam dan SK Mengabang Telipot.

“Dengan adanya program ini, pelajar Asnaf UMT menerima elaun sebanyak RM960.00 seorang yang menjadi guru tuisyen melalui sumbangan tajaan penuh daripada Etiqa Family Takaful Berhad berjumlah RM122,900.00.


Selain itu, Dr. Mazlan menyifatkan program seumpama itu sebagai platform terbaik dalam meningkatkan motivasi asnaf pelajar sekolah untuk berazam mengukuhkan pencapaian akdemik bagi menggapai kejayaan seterusnya mengubah nasib keluarga ke tahap lebih baik.

“Dengan melihat contoh teladan yang dipamerkan mahasiswa dalam mengejar ilmu, pelajar sekolah dapat menjadikannya sebagai idola dan inspirasi untuk belajar bersungguh-sungguh. Ini tidak hanya meningkatkan semangat belajar mereka tetapi juga membantu membina keyakinan diri yang penting untuk mencapai matlamat pendidikan mereka”. Katanya.

 

Dikeluarkan :

Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Mlaaysia Terengganu