KUALA NERUS, 7 Ogos 2018 – Universiti Malaysia Terengganu buat pertama kalinya melakar sejarah tersendiri setelah mendapat penganugerahan pensijilan MS ISO 9001:2015 daripada Sirim QAS International Sdn. Bhd.

Pengiktirafan itu diperoleh setelah eksesais audit ISO 9001:2015 Skop Perkhidmatan Pembelajaran dan Pengajaran bagi Program Diploma dan Sarjana Muda oleh Pasukan Auditor daripada Sirim QAS International selama tiga hari bermula pada 5 Ogos 2018.

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata pengiktirafan ini merupakan satu lambang keutuhan sebuah universiti.

“Alhamdulillah, UMT telah berjaya mencapai sasaran seperti yang ditetapkan bagi memperolehi pensijilan itu.

“Kejayaan ini diperolehi selepas berjaya melepasi audit pensijilan dan naik taraf oleh SIRIM QAS dan pengiktirafan ini sah bagi tempoh tiga tahun bermula 2018.

“Tahniah dan syabas kepada Prof. Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) selaku ketua urus setia pengauditan UMT. Kejayaan ini amat bermakna dan memberi impak kepada nama UMT dan seharusnya menjadi kebanggaan kepada warga UMT.

Tambah beliau, skop pensijilan ISO akan terus dikembangkan kepada aspek-aspek lain supaya dengan pengiktirafan-pengiktirafan yang bakal diperoleh dapat melonjakkan penarafan dan penjenamaan UMT diperingkat tempatan dan antarabangsa.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pusat Komunikasi Korporat (PKK)

Universiti Malaysia Terengganu

Tel : 09-6684100

Emel : pro@umt.edu.my