UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT Vice-Chancellor Flaming Aspiration for 2018

UMT Vice-Chancellor Flaming Aspiration for 2018

Monday, 19/02/2018

Share This Article :

Kuala Nerus – UMT harus bergerak seiring keperluan masa kini dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 sejajar dengan mandat kepimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi, ujar Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar dalam ucapannya sempena Majlis Amanat Naib Canselor UMT 2018.

Bertemakan “Keutuhan Penerokaan Ilmu Melalui Pemerkasaan Bakat; Menuju Pendidikan Tinggi 4.0”, Prof. Aieni juga sentiasa mahukan kualiti akademik dan juga peningkatan pencapaian UMT melalui penekanan lapan teras utama iaitu Pemerkasaan Bakat, Pengajaran dan Pembelajaran, Pembangunan Pelajar, Penyelidikan dan Inovasi, Pemindahan Ilmu dan Jaringan Industri, Keterlihatan Global, Kelestarian Kewangan dan Pemantapan Citra sebagai langkah untuk terus efisien, profesional dan cemerlang serta meningkatkan nilai dan kemahiran, termasuk kualiti kerja yang bertaraf global.

Selain itu, pelbagai inisiatif bakal dilaksanakan pada tahun ini seperti pemerkasaan struktur governans, mengukuhkan usaha dan jaringan penyelidikan dan inovasi UMT, dan  pembukaan Pusat Logistik dan Pengangkutan Maritim Malaysia (MaLTraC) yang merupakan satu-satunya pusat logistik dan pengangkutan maritim seumpamanya diwujudkan di Malaysia.

Selain itu, penekanan aspek akademik turut dipertingkatkan melalui penawaran program-program pengajian baharu yang merangkumi gabungan disiplin (multidiscipline) pelbagai bidang yang juga sebagai langkah untuk melahirkan graduan yang memenuhi kriteria yang diperlukan oleh pihak industri.

Antara program pengajian pascasiswazah yang bakal ditawarkan pada tahun 2018 adalah Sarjana Sains (Data Analitik), Sarjana Muda Sains Teknologi Perikanan, Sarjana Statistik Marin, Sarjana Sains (Forensik Alam sekitar) dan Sarjana Matematik Pendidikan Dengan Teknologi Maklumat.

Beliau menambah, pada tahun ini juga UMT akan membangunkan sebuah Galeri Korporat UMT yang mempamerkan sejarah dan pencapaian UMT sejak penubuhannya yang juga akan menjadi salah satu lokasi tumpuan dan tarikan pengunjung terutamanya ribuan pelawat yang datang ke UMT saban tahun.