UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT won 3 awards in National Book Award

UMT won 3 awards in National Book Award

Tuesday, 01/05/2018

Share This Article :

Kuala Lumpur – Tiga buah buku terbitan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah diiktiraf dalam Anugerah Buku Negara 2018 bertempat di Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur.

Membanggakan, 3 buah buku terbitan Penerbit UMT berkenaan mengungguli Kategori Buku Umum terbaik dalam kategori yang berbeza.

Buku berjudul “Transformasi Inovasi Sosial Komunikasi Nelayan” telah merangkul anugerah Buku Umum Terbaik kategori Sains Sosial dan manisnya, buku ini merupakan suntingan oleh Naib Canselor UMT sendiri, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Hj. Mokhtar bersama-sama Dr. Noorhaslinda Kulub Abd Rashid dan Dr. Zaleha Mohamad.

Buku berjudul “Repositori Kelulut Indo-Malaya Sekayu” hasil penulisan Prof. Madya Dr. Shamsul Bahri Abd Razak, pakar kelulut UMT bersama-sama Mokhtar Ishak, jurugambar pertama UMT pula telah merangkul anugerah Buku Umum Terbaik kategori Penyelidikan.

Manakala, buku “Beautiful Terengganu” yang baru-baru ini dilancarkan oleh Menteri Besar Terengganu sempena Ekspo Terengganu 2018 karya YH Dato’ Prof. Madya Noraien Mansor telah merangkul anugerah Buku Umum Terbaik kategori Pelancongan dan kemenangan ini mempertahankan rekod peribadi beliau selama lima (5) tahun berturut-turut bertanding dalam Anugerah Buku Negara.

Majlis Anugerah Buku Negara telah dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Profesor Negara, YBhg. Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose dan dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata “para cendekiawan mempunyai tanggungjawab sosial kepada masyarakat dalam menyebarkan pengetahuan dalam industri perbukuan dan pada masa yang sama, membantu dalam menyemai kecintaan terhadap keilmuan”.

YBhg. Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Hj. Mokhtar ketika ditemui berkata, “saya amat terharu dengan usaha para ahli akademik UMT yang berusaha mengetengahkan bidang ilmu masing-masing dalam bentuk penulisan ilmiah. Wujudnya anugerah seumpama ini membolehkan hasil penulisan diketengahkan dan secara tidak langsung, menggalakkan lagi pensyarah lain untuk terus berkarya memindahkan ilmu kepada masyarakat,” ujar beliau.

Anugerah Buku Negara telah diasaskan pada tahun 1900 dan Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) telah dipertanggungjawabkan untuk mengiktiraf industri buku di Malaysia dan diadakan bersempena dengan penganjuran tahunan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2018.

Pemenang anugerah  membawa pulang trofi kemenangan berserta sijil dan hadir sama pada majlis penyampaian anugerah berkenaan adalah ahli tertinggi YPBN, para penulis dan para pelajar UMT serta pengunjung PBAKL 2018.