KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sekali lagi mengetengahkan isu kulat dan kepentingan kewujudannya dalam penganjuran Fungi Day 2018 di Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan (PPSTM), di bawah penganjuran Laboratory for Pest, Disease and Microbial Biotechnology (LAPDiM), di sini.

 

Menurut Ketua Projek Fungi Day, Dr. Andrew A. Ngadin berkata kulat memainkan peranan penting dalam keseimbangan sesuatu ekosistem dan juga kepentingan ekonomi.

 

“Sebagai contoh, sekiranya pokok tumbang, kulat ini berfungsi untuk menguraikan bahagian-bahagian pokok tersebut.

 

“Selain itu, mikoriza juga merupakan spesis kulat yang berperanan penting dalam industri agrikultur dan perhutanan kerana fungsi simbiosisnya dengan akar tumbuhan atau pokok dapat meningkatkan proses penyerapan nutrien untuk membaiki pertumbuhan dan kesuburan tanaman. Dari segi ekonomi pula, kulat boleh meningkatkan pendapatan negara melalui penghasilan produk cendawan, yis, antibiotik serta produk inovasi.

 

Ujar beliau, pelbagai program yang telah diaturkan sempena penganjuran ini seperti seminar berkaitan kulat, pertandingan memasak berasaskan cendawan, pameran penyelidikan mikologi dan sesi perkongsian info menarik berkaitan Fungi Kingdom serta gerai-gerai jualan cendawan.

 

“Kita mendapat perhatian daripada pihak sekolah berhampiran, penyelidik-penyelidik dalam bidang berkaitan dari dalam dan luar negara serta pihak industri.

 

“Program ini juga telah mendapat kerjasama daripada para pelajar yang sedang menjalankan latihan industri dari National Sun Yat-Sen Universiti, Taiwan dan Khon Kaen Universiti, Thailand. 

 

Tambah beliau, pihaknya bercadang untuk menganjurkan program seperti ini pada skala lebih besar pada masa akan datang dan akan melibatkan agensi-agensi berkaitan seperti kumpulan IUCN, Species Survival Commission (SSC), Mushroom, Bracket and Puffball Specialist Group dan Chicago Botanic Garden, USA supaya lebih ramai yang akan memahami kepentingan kulat dalam kehidupan manusia dan pemuliharaannya. Menyusul bengkel Global Fungi Red List peringkat Asia Tenggara akan dianjurkan pada tahun 2019.

 

 

Untuk keterangan lanjut:

 

Dr. Andrew A. Ngadin

Ketua Projek/Pensyarah

Member, IUCN SSC Mushroom, Bracket and Puffball Specialist Group

LAPDiM

Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan

Universiti Malaysia Terengganu

Tel : 09-6685045

Emel : andrew@umt.edu.my

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu