KUALA NERUS – Pilihan Raya Kampus (PRK) bagi pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPP) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sesi 2018/2019 telah berlangsung semalam secara serentak di tiga lokasi berbeza iaitu Dewan Al-Irfan Kolej Siswa, Bilik Multimedia PSNZ dan Makmal Aplikasi Kompleks Kuliah, UMT.

 

PRK yang bermula jam 9.10 pagi hingga 5.10 petang ini berjalan dengan lancar berikutan kesemua calon dan pengundi memberi kerjasama bagi melancarkan proses tersebut. Sebanyak 24 kerusi dipertandingkan dan 11 calon bertanding merebut lapan (8) kerusi umum, manakala 23 calon pula merebut 16 kerusi di pusat pengajian.

 

Keputusan PRK yang diumumkan secara rasmi pada jam 7.00 petang semalam menyaksikan Mohamed Daniel bin Yusof daripada Pusat Pengajian Informatik dan Matematik Gunaan (PPIMG) mewakili Calon Umum mencatatkan jumlah undi yang paling tinggi iaitu 3,178.

 

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Profesor Ts. Dr. Che Mohd Ruzaidi bin Ghazali, PRK kali ni berjaya menggunakan khidmat 50 pelajar UMT dari kalangan ahli Akademi Pilihanraya (APR) Suruhanjaya Pilihanraya, dalam mengendalikan PRK, MPP.

 

Tambahnya lagi perjalanan PRK turut dipantau oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kehadiran Saudara Ulya Aqamah yang juga pegawai khas Menteri Pendidikan Malaysia.

 

“Harapan saya calon yang telah berjaya memenangi pemilihan kali ini mampu membawa suara mahasiswa dalam menyatakan hasrat keperluan dan kebajikan mereka dalam menjadikan mahasiswa UMT lebih berketerampilan dan holistik”. Ujarnya.

 

Menurut Profesor Ts. Dr. Che Mohd Ruzaidi lagi, pihak HEPA telah mengadakan promosi dan hebahan secara besar-besaran untuk menarik mahasiwa keluar mengundi. Beliau turut mengharapkan usaha bersepadu semua pihak dipergiatkan termasuk pusat-pusat pengajian dalam mendapatkan peratusan mahasiswa turun mengundi yang terbaik dimasa akan datang.