UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Kempen pemuliharaan lautan UMT diiktiraf MBOR

Kempen pemuliharaan lautan UMT diiktiraf MBOR

Tuesday, 21/5/2024

Share This Article :

Lautan adalah anugerah ciptaan agung yang terbentang luas, menyelimuti hampir tiga per empat permukaan bumi. Dengan warna birunya yang mempesona dan gelombangnya menghempas pantai, ia memberi gambaran tahap kesihatan bumi yang antara lain bertindak sebagai penopang kehidupan, penjaga iklim dan ekosistem yang tak ternilai harganya.

 

Namun, keindahan dan fungsi penting lautan semakin terancam oleh aktiviti manusia. Pencemaran plastik yang terapung bagaikan buih di permukaan laut memberi kesan buruk kepada hidupan laut dan ekosistem. Haiwan seperti penyu sering menganggap sampah sarap seperti plastik sebagai makanan dan akhirnya ‘makanan’ tersebut membunuh haiwan yang kian diancam kepupusan itu.

 

Pelbagai usaha telah dilakukan dalam menyebarkan kempen pemuliharaan alam sekitar khususnya penjagaan laut. Namun, kecanggihan teknologi masa kini masih tidak mampu mengubah gaya pemikiran masyarakat untuk bersikap lebih peka terhadap aspek pengurusan sampah dan sisa buangan.

 

Bagi terus memupuk dan menerapkan kesedaran dalam masyarakat, sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengambil inisiatif  mengadakan kempen pemuliharaan penyu yang mendapat pengiktirafan daripada The Malaysian Book of Records (MBOR).

 

Pengarah projek, Easwary A/P Kodisvaren menjelaskan bahawa kempen pemuliharaan laut khususnya penyu sebagai khidmat sosial.

 

“Program LAHARA: The Tidal Tales of Triumph sebagai medan untuk pelajar universiti menyebarkan kempen kesedaran pemuliharaan lautan kepada masyarakat umum.

 

“Kami berbangga kerana kempen ini berjaya mendapat sokongan daripada seluruh warga universiti dan komuniti sekitar untuk menurunkan cap tapak tangan berwarna pada kanvas bersaiz mega yang mendapat pengiktirafan daripada The Malaysian Book of Records.

 

Menurutnya, kanvas tersebut berukuran 19 meter panjang dan 15 meter lebar itu mengambil masa kira-kira 24 jam untuk dipenuhkan dengan cap tapak tangan dan proses itu dirakam dan disiarkan secara langsung menerusi media sosial rasmi UMT.

 

“Penganjuran itu bagi menyokong usaha UMT sebagai universiti berfokus marin yang menjalankan aktiviti pemuliharaan marin serta peneraju ilmu kelautan dan sumber akuatik”. Katanya.

 

Disediakan oleh :

 

Amirul Salam Hasan

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu