KUALA NERUS, 28 Ogos 2018 – Bagi menzahirkan keprihatinan terhadap kepentingan kesihatan seluruh warganya, pengurusan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Pusat Kesihatan Universiti (PKU) telah melancarkan program UMT Cakna Kesihatan Sosial dan Klinik Kekal Sihat sempena Perhimpunan Warga UMT 2018.

Menurut Dr. Arnie A. Rahim, Pengarah Pusat Kesihatan Universiti (PKU) berkata Klinik Diet dan Klinik Terapi Berat Badan telah beroperasi di PKU sejak awal tahun 2018.

“Klinik Diet dikendalikan oleh dua orang pensyarah dari Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan (PPSTM) manakala Klinik Terapi Berat Badan dikendalikan oleh dua orang Jurupulih Fisioterapi PKU.

“Selain itu, Klinik Berhenti Merokok telah beroperasi di PKU sejak Jun 2018 dan telah mendapat pengiktirafan dari Kementeri Kesihatan Malaysia, sebagai fasiliti kesihatan yang telah memenuhi piawaian yang ditetapkan sebagai Pusat Perkhidmatan Berhenti Merokok (MQuit Services). Justeru, Klinik Berhenti Berhenti Merokok PKU telah dianugerakan Sijil MQuit Services pada 19 Ogos 2018 baru-baru ini.

Tambah beliau, peningkatan jumlah pesakit menyumbang kepada peningkatan kos rawatan yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan dan UMT saban tahun seperti ubat-ubatan, kos pembedahan dan kos dialisis. 

Ujarnya, peningkatan Statistik Penyakit Tidak Berjangkit seperti Kencing Manis, Darah Tinggi, Serangan Jantung dan Kegemukan di Malaysia pada tahap  membimbangkan dan pihaknya telah mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan Klinik Kekal Sihat UMT sebagai langkah pencegahan bagi penyakit tersebut.

“Sesuatu yang membanggakan apabila seramai 18 daripada 19 orang peserta yang hadir ke Klinik Diet telah berjaya menurunkan berat badan. Manakala Klinik Terapi Berat Badan telah berjaya menurunkan berat badan empat peserta daripada 11 pesertanya.

“Bagi Klinik Berhenti Merokok pula dua orang daripada 12 peserta telah berjaya berhenti merokok dalam tempoh empat hingga lapan minggu. Kejayaan tersebut amat membanggakan dan memjadi perangsang kepada warga UMT yang lain mencabar diri untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat.

Tambah beliau lagi, pihaknya memandang serius berkaitan isu LGBT yang membimbangkan mutakhir ini.

“Penularan HIV dan penyebaran virus HIV/AIDS pada 10 tahun terakhir adalah disebabkan hubungan seks di luar tabii dalam kalangan golongan homoseksual dan biseksual (LGBT) dan bukan lagi perkongsian jarum suntikan individu yang mengambil dadah.

“PKU telah menganjurkan UMT Cakna Kesihatan Sosial dengan roadshow ke dewan-dewan kuliah bagi mendekati golongan pelajar dan menyampaikan info risiko penyakit akibat gejala sosial tidak sihat disetiap peringkat usia.

Profesor Dato` Dr. Nor Aieni Mokhtar, Naib Canselor UMT turut menyeru agar warga UMT dapat membudayakan gaya hidup sihat sepanjang masa seterusnya menghasilkan produktiviti kerja yang cemerlang.

Beliau ditemui semasa Majlis Perhimpunan Warga UMT 2018 bertempat di Dewan Sultan Mizan, UMT hari ini.

Untuk keterangan lanjut:

Dr. Arnie binti A. Rahim

Pengarah

Pusat Kesihatan Universiti

Universiti Malaysia Terengganu

Tel: 09-6684585

Emel : dr.arnie@umt.edu.my

 

 

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu