UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT Lancar Program 2u2i Sarjana Muda Perakaunan dan Tandatangan Perjanjian Bersama ACCA

UMT Lancar Program 2u2i Sarjana Muda Perakaunan dan Tandatangan Perjanjian Bersama ACCA

Monday, 13/02/2017

Share This Article :

Kuala Nerus, 13 Feb. – UMT bersama-sama firma Salihin Chartered Accountant telah melaksanakan program 2U2i bagi program Sarjana Muda Perakaunan (SMP) yang bakal memberi nilai tambah kepada para graduan berkenaan kelak dan dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Idris bin Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi hari ini bertempat di Universiti Malaysia Terengganu (UMT). 

Hasil kerjasama di antara UMT dengan firma Salihin Chartered Accountant melalui penubuhan (TAF) Teaching Accountancy Firm yang pertama seumpamanya ditubuhkan di dunia, program Sarjana Muda Perakaunan (SMP) telah memperkenalkan 5 kursus untuk menyokong program 2U2i ini. Pelaksanaan program ini melibatkan penempatan graduan di TAF seawal di tahun 2 sepanjang tempoh pengajian.

Selaras dengan Motto “Soaring Upwards” yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia, program 2U2i telah diperkenalkan dimana para graduan akan belajar selama 2 tahun di universiti dan 2 tahun berikutnya akan ditempatkan di industri.

Menurut YB Dato’ Seri Idris, “Program ini bertujuan untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran graduan melalui pembelajaran berasaskan pengalaman kerja (Work Based Learning) dan pada masa yang sama, graduan mendapat pengalaman kerja samada dari luar kampus dan juga daripada industri di mana amalan sebenar persekitaran kerja dalam industri yang terlibat”, ujar beliau ketika ditemui dalam sesi sidang media.

UMT juga turut menjalinkan kerjasama dengan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dengan menandatangani Perjanjian Program Accelerate yang akan menawarkan program ACCA Accelerate yang mana program ini bakal menyediakan peluang kepada graduan dalam bidang profesional dan menyokong pembangunan kerjaya dalam bidang perakaunan, perniagaan dan kewangan.

Program “ACCA Accelerate” memberikan kelebihan dan membolehkan graduan mengikuti ijazah Sarjana Muda Perakaunan di UMT dan pada masa yang sama, menduduki peperiksaan ACCA bagi komponen peperiksaan. Walaubagaimanapun, untuk mendapat kelayakan profesional ACCA sepenuhnya, graduan wajib mengikuti dua lagi komponen iaitu, pengalaman praktikal dan modul etika. Bagi program Sarjana Muda Perakaunan (SMP), ACCA telah memberi pengecualian sebanyak 9 kursus daripada 14 kursus yang perlu diambil untuk peperiksaan ACCA.

Sejurus lulus pengajian Sarjana Muda Perakaunan, para graduan hanya perlu mengambil 5 kursus ACCA sahaja dan mendapatkan pengalaman kerja selama 3 tahun serta lulus modul etika sebelum bergelar seorang akauntan profesional. Melalui program ini, graduan sarjana muda perakaunan bukan sahaja boleh menamatkan pengajian dengan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, tetapi juga mendapat kelulusan separa bagi sijil ACCA. 

Turut hadir sama dalam majlis berkenaan adalah pegawai-pegawai tertinggi dari KPT, ahli-ahli Lembaga Pengurusan UMT, Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) serta pegawai-pegawai utama dan kanan dari UMT, UniSZA, Salihin Chartered Accountant, ACCA, dan institusi-instusi pendidikan sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

 

Dikeluarkan oleh:

Pusat Komunikasi Korporat (PKK)
Universiti Malaysia Terengganu

Tel: 09 – 668 5086/ 433