UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Ramadan bulan penuh rahmat dan keampunan

Ramadan bulan penuh rahmat dan keampunan

Wednesday, 31/05/2017

Share This Article :

Ramadan adalah peluang untuk mendapatkan pengampunan dan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Saban tahun setiap kali ramadan tiba, kita dapati semangat berkobar-kobar pada permulaan ramadan itu sahaja. Semua umat islam akan mudah melaksanakan ibadat sunat seperti solat terawih dan amalan-amalan sunat lain.

Untuk kekal istiqomah dalam melaksanakan ibadah sepanjang ramadan, kita perlu fokuskan beberapa perkara; pertamanya niatkan ibadah yang dilakukan adalah kerana Allah. Setiap ibadah yang kita lakukan mestilah diniatkan serta hadir dalam hati ibadah tersebut adalah kerana Allah dan memohon agar diterima. Setiap ibadat yang dilakukan seperti membaca Al-Quran, bukan sekadar melihat setiap huruf tetapi menjiwai dengan setiap makna terjemahan serta melihat dengan hati tentang kebesaran dan ketakutan kepada Allah.

Selain itu, berharaplah agar Allah memberikan ketaatan setiap kali selepas menunaikan solat fardhu dan sunat. Orang yang berdoa kepada Allah dibulan ramadan amat dialu-alukan dan amat tinggi nilainya disisi Allah.

Ketiga, jangan menghampiri kepada perkara-perkara maksiat serta melalaikan. Hal ini dituntut oleh syariat seperti menjaga telinga daripada mendengar sesuatu yang tidak disukai Allah seperti mengumpat, mengadu domba, percakapan yang sia-sia serta menyakiti hati orang lain. Apabila seseorang menjaga dan menyucikan pandangan, pendengaran dan pertuturannya, insyaAllah dia telah memelihara dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang dimurkai Allah S.W.T.

Seseorang itu perlu mengelakkan daripada melakukan pembaziran di bulan yang penuh barakah ini. Seringkali media melaporkan bahawa bulan Ramadan yang suci ini dicemari dengan pembaziran makanan yang terlalu banyak. Cukup dengan pengambilan makanan hanya mengikut keperluan tubuh badan sendiri. Elakkan mendapatkan makanan yang melampau kuantitinya terutamanya apabila membeli makanan di bazar-bazar yang amat menggoda hawa nafsu sewaktu lapar.

Semoga Ramadan kali ini membawa lebih erti dan bakal memberi seribu rahmat dan pahala. Selamat menjalani ibadah puasa.

#tamakpahala

 

Oleh Amirul Salam Hasan