UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT comes first runner-up in MyAgrosis Cup 2018 of CESF’2018

UMT comes first runner-up in MyAgrosis Cup 2018 of CESF'2018

Monday, 16/04/2018

Share This Article :

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dinobatkan sebagai Naib Johan bagi pertandingan MYAGROSIS CUP 2018 sempena penganjuran Career Entrepreneurship and Skills Festival 2018 (CESF’18) yang diadakan selama empat hari bermula 12 April 2018 lalu di Dataran Pesta Konvokesyen UMT.

Kumpulan UMT menerusi produk Projek Pollen menerima hadiah berupa wang tunai berjumlah RM3,000.00 beserta hamper.

Bersempena CESF’18, turut dianjurkan adalah MyCareer@MOHE dengan kerjasama antara UMT & JobsMalaysia Centre Terengganu yang telah menarik kira-kira lebih 20,000 pengunjung yang mengambil peluang ini bagi merebut pelbagai tawaran menarik dan menyertai aktiviti yang diadakan terutamanya bagi para graduan lepasan institusi pendidikan tinggi yang sedang mencari peluang pekerjaan.

Penganjuran CESF’18 merupakan sebahagian daripada agenda pelaksanaan yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) 2015 -2025 iaitu dalam Lonjakan 1, “Graduan Holistik, Berciri Keusahawanan dan Seimbang”.

Antara pengisian program pada penganjuran kali ini adalah seperti temu duga terbuka (MyCareer@MOHE) dan pameran kerjaya daripada pihak industri, Industrial Talk, Forum Kerjaya, pertandingan Real Business Challenge, Career Idol serta penganjuran MyAgrosis Cup peringkat Kebangsaan, pertandingan yang julung kali diadakan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) yang mana “Cup” pemenang akan disampaikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia di Himpunan Raksasa MyAgrosis pada 28 April 2018 kelak.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Madya Ts. Dr. Che Mohd Ruzaidi Ghazali dalam ucapannya berkata, CESF’18 adalah bertujuan untuk meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan Universiti disamping menghubungkan universiti bersama industri.

“Selain itu, program ini dapat mengukuhkan strategi bagi meningkatkan kerjasama antara universiti dan agensi serta mengurangkan kadar pengangguran di kalangan graduan dan seterusnya melahirkan graduan yang holistik, bercirikan keusahawanan dan seimbang”.

Tambahnya lagi, program MyCareer@MOHE mensasarkan pengunjung yang terdiri daripada pelajar-pelajar UMT, Universiti Awam seluruh Malaysia, Alumni UMT, komuniti belia, dan pelajar-pelajar sekolah di negeri Terengganu.

Sementara itu Ahli Lembaga Pengurusan Universiti UMT, YBhg. Dato’ Asmawi Nordin dalam ucapan perasmian penutupannya menegaskan, sikap individu itu sendiri adalah penting untuk memastikan ciri-ciri yang dikehendaki oleh majikan telah dipupuk dalam kalangan siswazah.

“Latar belakang pendidikan, pengalaman serta kemahiran yang ada pada siswazah bukan sahaja ciri-ciri utama yang diperlukan, malah majikan turut menilai dari segi keupayaan untuk merancang, menyelesaikan masalah, memimpin dan integriti untuk melayakkan siswazah dipilih sebagai bakal pekerja mereka. Sedari awal lagi, mahasiswa perlu menanam nilai-nilai ini sebelum melangkah ke alam pekerjaan supaya mudah di hari mendatang,”.

Merasmikan majlis penutupan CESF’18 adalah YBhg. Dato’ Asmawi Nordin dengan diiringi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UMT, pegawai-pegawai utama dan kanan UMT, wakil-wakil agensi dan para pelajar.

 

Untuk Keterangan Lanjut:

Dr. Mohd Shaari Abd Rahman
Pengarah
Pusat Keusahawanan dan Kerjaya (CEC)
Universiti Malaysia Terengganu
Tel : 09-668 5146
Emel : shaari@umt.edu.my

 

Dikeluarkan oleh:
Pusat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu
Tel: 09-668 5086 / 012 – 689 1523
Emel: aaminah.azhar@umt.edu.my