UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

9 Sekawan Pegawai UMT Terima Ijazah Sarjana

9 Sekawan Pegawai UMT Terima Ijazah Sarjana

Saturday, 18/11/2017

Share This Article :

Kuala Nerus – Bekerja bersama-sama, bergraduasi juga bersama-sama apabila tujuh (7) orang Pegawai UMT dari pelbagai skim dan gred jawatan berjaya menamatkan pengajian dan menerima segulung ijazah Sarjana hari ini sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke-15 tahun 2017.

Menerima ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) adalah Afandi bin Abdul Ghani yang menjawat jawatan Pegawai Laut (A44), Azize bin Abdullah yang menjawat jawatan Jurutera Kanan (J48), Kamal bin Talib yang menjawat jawatan Pegawai Belia & Sukan (S41), Mohd Ruhaifi bin Alias (N44) dan Mohd Yusmiza bin Mamat (N44) yang masing-masing menjawat jawatan Penolong Pendaftar Kanan dan Ahmad Fazli bin Mohamed (W41), Mohd Juhari bin Ab. Kadir (W44) dan Mohd Ridzuan bin Mamat (W44) yang masing-masing merupakan Pegawai Kewangan serta Munirah bin Ahmad yang menjawat jawatan Penolong Akauntan(W29).

Tugasan hakiki di pejabat mahupun di rumah tidak menghalang mereka menlanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dengan adanya pembahagian masa yang bijak dan mereka juga bertuah apabila para pensyarah amat memahami situasi mereka.

UMT sebagai institusi pendidikan tinggi turut membantu dalam memberikan bantuan dari segi kewangan dan juga kemudahan-kemudahan lain kepada mereka sebagai pelajar Pasca-graduan dalam melanjutkan pengajian. 

Mereka juga merupakan antara pelajar paling “senior” dalam kalangan rakan sekelas masing-masing yang rata-rata merupakan pelajar lepasan ijazah Sarjana Muda dalam pelbagai bidang dan dengan pengalaman kerja yang diperoleh sepanjang tempoh berkhidmat, mereka tidak lokek berkongsi pengalaman dan ilmu yang sedia ada dalam alam pekerjaan sebenar kepada rakan sekelas yang lain.

Ujar Ahmad Fazli Mohamed, usai menerima ijazah Sarjana, ada diantara mereka akan meneruskan perjuangan menimba ilmu ke peringkat Doktor Falsafah agar dapat lebih memahami bidang pelajaran yang dipilih.

Turut sama menerima ijazah Sarjana Muda pada hari ini adalah Mohd Nurhanies Farissa Irwan bin Muhammad yang merupakan usahawan Puyuh berjaya sebelum tamat pengajian dan Nur Farihah Abdul Rahman, anak nelayan dari Kg. Mengabang Telipot, Kuala Nerus Terengganu yang berjaya memperoleh kerjaya dalam sektor Kerajaan sewaktu dalam tempoh pengajian dan akhirnya berjaya menamatkan pengajian meskipun terpaksa berkorban menangguhkan pengajian selama setahun demi membantu keluarga.

 

Dikeluarkan oleh:
Pusat Komunikasi Korporat (PKK)
Universiti Malaysia Terengganu
Tel: 09 – 668 5086/ 4339