UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

AKUATROP UMT CAPAI PENGIKTIRAFAN HICoE

AKUATROP UMT CAPAI PENGIKTIRAFAN HICoE

Monday, 04/01/2021

Share This Article :

Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menerima pengiktirafan daripada Kementerian Pengajian Tinggi, Malaysia sebagai sebuah Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) bagi Teras Penyelidikan dan Inovasi pada 3 November 2020.

AKUATROP merupakan satu-satunya pusat kecemerlangan yang menerima pengiktirafan HICoE pada tahun ini dan merupakan pusat kecemerlangan kedua di UMT selepas Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS). Hebahan pengiktirafan ini dibuat melalui surat rasmi pihak Jabatan Pendidikan Tinggi yang diterima pada 22 Disember 2020 yang lalu.

Nic penyelidikan yang menjadi pilihan AKUATROP adalah Future Food dengan tema penyelidikannya Sustainable Shellfish Aquaculture, amat sinonim dengan bidang tujahan utama penyelidikan di AKUATROP iaitu akukultur dan perikanan.

Melalui suntikan dana sebanyak RM6.6 juta, AKUATROP akan memfokuskan penyelidikan berkaitan shellfish atau kerang-kerangan khususnya, seiring dengan pelan tindakan dan hala tuju HICoE untuk pelaksanaan Fasa 1 bagi tiga (3) tahun pertama program HICoE ini yang ditetapkan bermula pada 1 Januari 2021 hingga  31 Disember 2023.

HICoE AKUATROP ini bakal menghimpunkan kumpulan penyelidik yang tersohor di UMT khususnya dalam bidang penyelidikan akuakultur yang diketuai oleh Prof. Dr. Mhd Ikhwanuddin Abdullah selaku Pengarah HICoE AKUATROP. Pasukan penyelidik di bawah HICoE ini adalah seramai 20 orang dengan pecahan lima (5) penyelidik utama dan 15 penyelidik bersekutu.

Empat program penyelidikan telah dirangka bagi program ini iaitu Aquaculture Resource Sustainability, Aquaculture Breeding Technology, Aquaculture Green Technology dan Fish Health and Food Quality Assurance.

Lapan (8) penunjuk prestasi utama (KPI) telah disasarkan sepanjang pelaksanaan HICoE ini. Ianya adalah seiring dengan pencapaian yang ditetapkan di dalam Pelan Startegik UMT serta instrument penilaian di bawah HICoE. Antara KPI yang disasarkan adalah peningkatan geran penyelidikan dengan pihak industri dan antarabangsa serta penghasilan penerbitan berimpak tinggi melalui kolaborasi penyelidikan seterusnya peningkatan produk penyelidikan dan penjanaan pendapatan melalui kursus, latihan dan produk di bawah nic penyelidikan yang dilaksanakan ini.

Program HICoE AKUATROP mensasarkan tujuh (7) outcome utama selepas lima (5) tahun pelaksanaannya. Outcome ini dibangun berpandukan model quintuple helix dengan outcome yang memfokuskan pulangan kepada akademia, industri, kerajaan dan juga komuniti melalui pembangunan makmal penyelidikan, penerbitan jurnal akuakultur dan pusat pengembangan penyelidikan di bawah nic penyelidikan ini.

Melalui pengiktirafan HICoE ini juga diharapkan dapat menyokong Dasar Keselamatan Makanan Negara di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang telah dipengerusikan oleh YB Perdana Menteri pada Mei 2020 yang lalu.

Disediakan oleh:

Solihah Binti Ahmad  

Penolong Pendaftar Kanan

Institut Akuakultur Tropika & Perikanan (AKUATROP)

Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

 

 

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu (UMT)