UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Pengalaman sebagai panduan bagi mengecapi kejayaan tahun baharu 2023

Pengalaman sebagai panduan bagi mengecapi kejayaan tahun baharu 2023

Sunday, 1/1/2022

Share This Article :

Tahun 2022 meninggalkan kita dengan seribu rasa. Banyak peristiwa yang mungkin menjadi mimpi ngeri serta kenangan manis bagi setiap insan.

Disingkap kembali, Malaysia berdepan dengan wabak Covid-19 yang telah meranapkan impian bagi kebanyakkan warganegara. Walaupun setelah hampir tiga tahun pandemik berlalu, kesannya masih lagi dirasai. Malah pembudayaan norma baharu seperti pemakaian pelitup muka masih lagi diteruskan serta ujian pengesanan Covid-19 masih diamalkan dalam beberapa aktiviti.

Negara juga menyaksikan sistem pemerintahan negara berdepan situasi Parlimen Tergantung akibat daripada tiada parti yang mendapat majoriti mudah dalam Pilihanraya Umum ke-15 beberapa bulan lalu. Sejarah baharu terukir apabila Yang Dipertuan Agong menitahkan agar kerajaan perpaduan diwujudkan dalam usaha mengekalkan kestabilan dan keharmonian negara dengan melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Malangnya, pada tahun 2022 juga berlaku dua siri bencana banjir besar yang melanda beberapa negeri di pantai timur. Antara negeri yang terkesan teruk akibat tragedi ini iaitu Terengganu, kelantan, Pahang dan beberapa daerah di negeri lain. Bencana seperti itu diibarat ‘acara tahunan’ yang memerlukan persiapan fizikal dan mental apabila segala barangan rumah, kenderaan, haiwan ternakan dan lain-lain musnah sekelip mata. Lebih pilu apabila tiga beradik meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik ketika banjir di kawasan kediamannya baru-baru ini. Peristiwa hitam yang penuh tragis itu pasti memberi kesan yang mendalam kepada keluarga mereka setelah kehilangan harta benda dan ahli keluarga tercinta.

Namun, kehidupan mesti diteruskan! Perjalanan hidup yang masih panjang bermula tahun baharu 2023 perlu diisi dengan ‘coretan’ manis untuk dikenang pada masa akan datang.

Ayuh mulakan halaman pertama daripada 365 hari dengan meletakkan sasaran yang tinggi demi cita-cita yang diidamkan. Pengalaman yang dilalui sepanjang tahun lalu perlu diletakkan asas sempadan agar setiap gerak kerja sentiasa berada di landasan bagi mengecap titik kejayaan.

Semoga tahun baharu 2023 memberi lebih kekuatan dalam menempuh waktur sukar untuk menggapai kejayaan. Ya, kejayaan tidak akan datang secara sendirinya, ia perlu dicipta. Hanya insan yang pernah mengecapi kejayaan sahaja merasai betapa manisnya saat itu dan semua orang mempunyai ruang dan peluang untuk merasainya.

Pemuitis inggeris, Vern McLellan  pernah menyebut, “What the new year brings to you  will depend a great deal on what you bring to new year”.

SELAMAT TAHUN BAHARU 2023!