UMT DAN UiTM ERAT KERJASAMA STRATEGIK MELALUI PERKONGSIAN PINTAR SISTEM NILAIAN AUDIT PENAMPILAN (ezSNAP)

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjalinkan kerjasama erat bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Perkongsian Pintar Sistem Nilaian Audit Penampilan (ezSNAP). Perkongsian ini adalah gabungan strategik di dalam mengukuhkan fungsi Audit Dalam untuk membantu universiti masing-masing memperkasakan tadbir urus pengurusan kewangan.

Menurut Profesor Dato’ Dr. Nor Aieni Haji Mokhtar Naib Canselor UMT, ezSNAP yang dibangunkan oleh UMT telah diubahsuai dan ditambah baik mengikut acuan dan keperluan UMT. Ini adalah indikasi bahawa usaha-usaha yang telah dibuat oleh Audit Dalam dan Pusat Pengurusan Teknologi Maklumat UMT telah menjadi benchmark kepada rakan-rakan Universiti Awam (UA) yang lain.

“Perkongsian pintar ini adalah satu gabungan strategik (strategic alliance) yang membawa faedah sinergi perkongsian kepakaran dalam bidang IT di antara agensi-agensi dan institusi-institusi. Contohnya sekarang, Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkongsi sistem ezSNAP dengan UMT dan UMT pula berkongsi dengan UiTM”.

“Majlis ini merupakan tanda kerjasama strategik di antara UMT dan UiTM di dalam mengukuhkan fungsi Audit Dalam untuk membantu universiti masing-masing memperkasakan tadbir urus pengurusan kewangan”.

”Saya percaya perkongsian pintar antara UMT bersama JPM, dan seterusnya bersama UiTM akan dapat menjimatkan kos pembangunan sistem, meningkatkan prestasi agensi kerajaan secara menyeluruh, memudahkan perkongsian data dan sumber serta membantu usaha pembangunan dan pemulihan ekonomi Negara”.

“Sistem ezSNAP adalah satu mekanisma penilaian kendiri pengurusan kewangan oleh Pusat Tanggungjawab (PTj) secara atas talian. Sistem ini asalnya dibangunkan oleh Bahagian Audit Dalam JPM. Ianya pernah mendapat mendapat penarafan bintang oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) pada tahun 2012 serta menjadi finalis Anugerah Inovasi Sektor Awam – Pengurusan Kewangan (AIPK) pada tahun 2013”.

“UMT telah menerima sistem ini daripada JPM melalui perkongsian pintar dan telah membuat beberapa perubahan untuk mengikut kesesuaian governans dan fungsi UMT”.

Menurut Profesor Dato’ Dr. Nor Aieni Haji Mokhtar lagi, objektif utama pelaksanaan sistem ezSNAP di UMT adalah untuk membantu pihak pengurusan UMT mewujudkan budaya kerja berasaskan amalan terbaik bagi meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan serta meningkatkan aspek integriti, keutuhan dan akauntabiliti di semua PTj.

Majlis yang diadakan di Pusat Komunikasi Strategik, UMT Putrajaya ini turut dihadiri oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Hassan Said Naib Canselor UiTM, En. Mohd Sakeri Abdul Kadir Ahli Majlis Audit Universiti (MAU) UiTM dan Pn. Norrizan Tahir Setiausaha Bahagian Audit Dalam Kementerian Pendidikan Malaysia.

 

Untuk keterangan lanjut:

Prof. Madya Dr. Zalailah Binti Salleh   

Ketua Audit Dalam

Universiti Malaysia Terengganu

Tel : 09-6684531

Emel : zalailah@umt.edu.my

 

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu