Universiti Malaysia Terengganu (UMT) buat julung kalinya melakar sejarah dalam bidang penerbitan dengan menghasilkan 200 judul e-book melibatkan penerbitan ilmiah dan korporat dalam pelbagai bidang.

Majlis pelancaran e-book yang diadakan pada 19 Jun 2019 telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, YB. Dr Maszlee Malik bertempat di Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya.

Berucap semasa pelancaran tersebut, YB Dr. Maszlee menyatakan hasrat supaya para penerbit di universiti mengadakan jalinan kerjasama dengan Institut Terjemahan Buku Negara (ITBN) dalam menterjemahkan e-book dan bahan berkaitan dalam pelbagai bahasa untuk rujukan para akedemik dan masyarakat di seluruh dunia.

Dr. Maszlee turut menyarankan semua penerbit universiti untuk lebih aktif menerbitkan judul-judul baharu yang lebih bersifat universal atau umum serta genre tersebut bakal menambahkan lagi khalayak pembaca merangkumi pelbagai peringkat umur dan lapisan masyarakat.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMT, Prof Dato’ Dr Nor Aieni Mokhtar berkata, UMT sentiasa terkehadapan mendepani momentum ledakan dunia digital khususnya dalam arena penerbitan.

 “Penerbit UMT kini berada di posisi selesa setaraf dengan penerbit-penerbit universiti lain yang lebih berpengalaman dalam industri perbukuan,” katanya.

Tambahnya lagi UMT sentiasa mencari peluang untuk berada di pentas dunia, ingin dikenali dan menjadi pilihan sebagai destinasi menimba ilmu. Justeru, penerbitan e-book ini adalah salah satu usaha mengantarabangsakan jenama UMT ke segenap pelosok dunia.

Kesemua 200 judul e-book ini dapat diakses menerusi langganan di pautan overdrive.com dan aplikasi PubU di peranti mudah alih dengan kerjasama bersama Celex Media Sdn Bhd. Platform overdrive.com ini menghimpunkan lebih 2 juta koleksi judul-judul digital dengan anggaran 27,000 langganan daripada perpustakaan-perpustakaan di seluruh dunia.

Akses terbuka dari seluruh dunia ini memberi potensi langganan untuk judul-judul terbitan Penerbit UMT khususnya naskhah-naskhah akademik yang menjadi bidang tujahan UMT.

Usaha menerbitkan e-book ini juga dilihat seiring dengan agenda Read@Uni bagi menyemarakkan pembacaan dalam kalangan mahasiswa, pensyarah dan staf pentadbiran menerusi pembacaan dengan paparan digital.

UMT juga tidak terkecuali meletakkan komuniti sebagai keutamaan selaras dengan konsep University for Society. Untuk itu, UMT menjadi perintis kepada Desa Digital, satu inisiatif yang bertujuan untuk menambahkan koleksi digital di perpustakaan-perpustakaan desa.

Inisiatif Desa Digital UMT yang dijalin bersama Celex Media Sdn Bhd ini akan meluaskan lagi usaha memupuk persekitaran pembacaan dengan dikembangkan kepada komuniti.

 

Majlis pelancaran turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia; Teo Nie Ching; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi; Kementerian Pendidikan Malaysia, Datin Paduka Ir. Siti Hamisah Tapsir dan penerbit-penerbit universiti.

 

Dikeluarkan oleh:

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu