Ramadan merupakan bulan kesembilan dalam kalendar Islam dan ianya memberi makna yang begitu besar kepada umat Islam di seluruh dunia. Bulan ini dipilih sebagai bulan untuk berpuasa dan pada bulan ini juga Al-Qur’an diturunkan.

 

Pahala dapat direbut dengan berlipat kali ganda kerana di bulan Ramadan ini juga pintu-pintu syurga dibuka sebagaimana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila Ramadhan tiba, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan pun dibelenggu.” (Hadis Riwayat Muslim).

 

Bulan ini juga dikenali sebagai “Syahrul Al-Jihad” iaitu berjihad melawan hawa nafsu sendiri. Untuk mengawal dan mengendali hawa nafsu diri sendiri bukanlah perkara yamg mudah kerana orang yang kuat imannya sahaja berjaya menanganinya. Jihad melawan nafsu bertujuan untuk menyuci dan memurnikan nafsu kita kembali dalam keadaan fitrah.

 

Menurut penulis buku The Fast Diet, Dr. Michael Mosley, puasa bukan sahaja dapat membantu mengurangkan berat badan, tetapi ia menawarkan pelbagai manfaat kesihatan lain. “Kajian menunjukkan puasa berselang-seli bukan sahaja berlaku penurunan tekanan darah dan tahap kolesterol, tetapi juga dalam kepekatan insulin mereka,”

 

Selain itu, Dr. Razeen Mahroof, dari University of Oxford di UK, menjelaskan bahawa penggunaan lemak untuk tenaga ketika berpuasa boleh membantu mengekalkan otot dan mengurangkan tahap kolesterol.

 

“Proses detoksifikasi juga berlaku, kerana mana-mana toksin yang disimpan dalam lemak badan diuraikan dan dikeluarkan dari badan. Setelah beberapa hari berpuasa, tahap endorfin yang lebih tinggi terhasil dalam darah memberi kesan positif terhadap kesihatan mental”.

 

Di samping itu, bulan Ramadhan disebut juga sebagai bulan ibadah kerana pada bulan ini disunatkan kepada umat Islam untuk melakukan ibadah sunat seperti solat sunat Dhuha, Rawatib dan Tarawih ataupun Qiyamullail serta Tadarus Al-Qur’an. Selain berlapar dan meninggalkan perkara yang boleh membatalkan puasa pada siang hari, umat Islam perlu merebut kesempatan untuk mendalami dan menggandakan ibadah sunat sepanjang bulan barakah ini dan seterusnya tanamkan azam untuk ‘bertemu’ dengan Lailatulqadar. InsyaaAllah.

   

 Selamat menjalani ibadah puasa!