UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT terima aset HPLC, tawar perkhidmatan uji ketulenan madu

UMT terima aset HPLC, tawar perkhidmatan uji ketulenan madu

Monday, 13/12/2021

Share This Article :

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima aset penguji ketulenan cecair hasil sumbangan kerajaan negeri Terengganu.

Peralatan yang dinamakan sebagai High Performance Liquid Chromatography (HPLC) dilengkapi dengan teknologi termaju itu ditempatkan di Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan lapangan (PPPL) UMT bagi tujuan pengesahan ketulenan madu lebah dan kelulut.

Industri penternakan madu kelulut semakin berkembang pesat disebabkan permintaan tinggi dalam pasaran serta mengandungi khasiat yang tinggi.

Menurut Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, Setiausaha Kerajaan Terengganu berkata aset HPLC itu merupakan salah satu alat ujian saintifik untuk menganalisis tahap ketulenan madu.

“Berdasarkan laporan sosioekonomi negeri Terengganu tahun 2016-2019, penduduk yang terlibat dalam kategori pekerja mahir pertanian dan penternakan sekitar 39,000 orang dengan pertumbuhan Kadar Dalam negara Kasar (KDNK) sektor pertanian adalah sebanyak 6%.

“Justeru, pihak kerajaan negeri menyedari ada kelompok yang perlu diberikan perhatian khusus seperti kumpulan penternak lebah dan usahawan industri madu asli dan kelulut di negeri Terengganu.

“Oleh yang demikian, kerajaan negeri bersetuju meluluskan dana bagi pembelian aset High Performance Liquid Chromatography (HPLC) sebagai suatu medium bagi menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan potensi produk madu dan ketulenan untuk memacu industri tersebut ke pasaran global yang menjanjikan pulangan yang tinggi kepada komuniti dan pemain industri dalam pembangunan ekonomi negeri Terengganu.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof Dr. Mazlan Abd Ghaffar menyifatkan sumbangan itu merupakan suatu pengiktirafan yang tinggi kepada UMT.

“Sesungguhnya, pihak UMT merasa amat cukup bertuah, kerana dengan adanya fasiliti HPLC di UMT ini, ia dapat memudahkan urus selia dan penggunaan peralatan bagi kemudahan penyelidik, warga pelajar, industri serta komuniti setempat dalam usaha untuk mendapatkan pengiktirafan tahap ketulenan cecair secara tepat. saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas sumbangan ini.

“HPLC yang dilengkapi pengesan Refractive Index (RID), berfungsi dalam mengesan kandungan gula ringkas. Contoh gula ringkas yang terdapat dalam madu ialah sukrosa, fruktosa, maltosa, glukosa dan sebagainya. Kehadiran dan kepekatan setiap gula ringkas dalam madu, Hidrometilfurfural (HMF) dan kumpulan sebatian fenolik inilah yang dijadikan kayu asas dalam penentuan ketulenan madu.

“Jika didapati gula ringkas tertentu dalam kepekatan tinggi, maka dapat dikatakan bahawa kandungan madu yang dipasarkan adalah tidak tulen iaitu yang telah ditambah dengan gula atau pemanis tiruan.

“Semoga hubungan kerjasama antara UMT dan Kerajaan Negeri Terengganu akan terus berkekalan, terutamanya dalam merealisasikan hasil penyelidikan universiti, demi pembangunan negeri Terengganu khasnya serta negara Malaysia amnya”. Katanya.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu