UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Program sinergi anjuran UMT terap nilai keusahawanan kepada mahasiswa

Program sinergi anjuran UMT terap nilai keusahawanan kepada mahasiswa

Monday, 12/09/2022

Share This Article :

Rata-rata graduan pernah melalui fasa ‘mencari kerja’ sebaik tamat pengajian di setiap peringkat. Tambah meruncing apabila dunia dilanda serangan Covid19 yang telah memberi kesan besar terhadap sector ekonomi. Secara tidak langsung ia menjadikan peluang kerjaya semakin menguncup dan tekanan itu bukan sahaja dihadapi oleh mahasiswa, malah ramai juga pekerja di pelbagai sector diberhentikan akibat syarikat gulung tikar.

Kini mahasiswa perlu memiliki kemahiran lain atau ‘soft skill’ sebagai nilai tambah untuk terus kekal relevan dan berdaya saing dalam mendepani dunia pekerjaan yang mencabar.

Selain itu, nilai keusahawanan turut diperkenalkan di seluruh institusi pengajian tinggi mutakhir ini. Ia sebagai langkah bagi melahirkan graduan yang holistic bukan sahaja sebagai pencari kerja, malah sebagai usahawan atau ‘job creature’ yang mampu membuka peluang kerjaya kepada kumpulan lain.

Pelbagai inisiatif telah diperkenalkan bagi menyokong dan mendokong aspirasi kerajaan bagi melahirkan graduan cemerlang seiring negara maju.

“Bagi menyahut seruan pihak kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan (entrepreneurial nation) yang unggul menjelang tahun 2030, UMT melalui Pusat Keusahawanan Dan Kerjaya (CEC) fokus melaksanakan pelbagai program yang dapat memupuk semangat keusahawanan kepada para graduan di samping bergerak aktif membantu memasarkan produk hasil penyelidikan warga UMT Cemerlang dengan menubuhkan syarikat pemula (start-up) melalui Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC)”. Kata Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar ketika berucap dalam majlis perasmian Program KPT Prihatin Keluarga Malaysia (KPKM) – Edisi Keusahawanan Dengan Kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) baru-baru ini.

Menurutnya, penganjuran itu merupakan sebahagian usaha universiti bagi menerapkan ilmu keusahawanan serta sebagai pendedahan awal peluang bidang keusahawanan kepada mahasiswa.

“Program pada hari ini adalah sangat bermakna kerana merupakan usaha murni daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) untuk mengetengahkan penglibatan IPT dan agensi dalam menyampaikan perancangan dan inisiatif berkaitan bidang keusahawanan kepada seluruh rakyat di semua peringkat”. 

Tambahnya, keusahawanan bukan sesuatu yang baharu dalam kalangan mahasiswa dan mereka disarankan menerapkan ilmu itu yang juga sebahagian daripada lonjakan pertama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

“Kebolehan menguasai dan mengurus ilmu dalam jurusan yang diambil serta penerapan nilai teras universiti, antara tanggungjawab yang wajib dicapai graduan.

“Kita mahu melihat graduan yang holistik yang mempunyai keberanian mencuba perkara baharu, berfikiran kreatif dan kritis dalam menghasilkan sesuatu, keinginan untuk mencabar diri dari kebiasaan dalam usaha mencari penyelesaian, semangat kebersamaan dalam perbincangan dan diskusi serta lain-lain. UMT menuju kearah ini dalam usaha meningkatkan kecemerlangan universiti di peringkat nasional dan antarabangsa”. Katanya.

Sebagai sebuah universiti untuk masyarakat, UMT komited dalam membantu pembangunan keusahawanan kepada komuniti khususnya di negeri Terengganu. Pelbagai projek keusahawanan yang telah dilaksanakan bagi menyokong ke arah peningkatan kemahiran dan kompetensi dalam bidang keusahawanan.

Turut hadir ialah YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi bagi merasmikan program tersebut yang berlangusng di Dewan Sultan Mizan UMT.

Beliau dalam ucapannya menyatakan kementeriannya menyokong dan terbuka untuk sebarang program berbentuk keusahawanan selari dengan hasrat kerajaan.

“Sesungguhnya, program pada hari ini merupakan usaha strategik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi mendukung kelestarian agenda keusahawanan di IPT dalam melahirkan lebih ramai usahawan di kalangan pelajar dan graduan IPT dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

“Dalam konteks keusahawanan di sektor pendidikan tinggi, suka saya kongsikan di sini, bahawa pada tahun 2021 yang lepas, sejumlah 93,352 mahasiswa telah menceburkan diri dalam aktiviti keusahawanan atau perniagaan semasa dalam tempoh pengajian. Jumlah ini meningkat sebanyak 35 peratus berbanding 68,937 orang pada tahun 2020.

“Data itu menunjukkan terdapat peningkatan positif iaitu seramai 9,131 atau 9.78 peratus daripada kumpulan tersebut meneruskan aktiviti keusahawanan mereka selepas bergraduat dan ia melepasi sasaran enam peratus pelajar yang bergraduat menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya, yang telah KPT tetapkan pada tahun 2021.

“Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2021 – 2025 memberi fokus kepada tiga teras strategi iaitu memantapkan ekosistem keusahawanan yang bersinergi dan holistik, memperkasa jaringan keusahawanan yang berimpak tinggi dan menekankan kepada keusahawanan yang berteraskan inovasi dan teknologi”.

Antara usahawan siswa yang telah mencipta kejayaan hasil bimbingan dan dorongan universiti ialah Muhammad Nur Najmie Mohamad Naser, graduan Diploma Perikanan UMT telah memenangi pertandingan menerusi projek NS Betta Lau di bawah seliaan dan bimbingan Dr. Ivan Koh Chong Chu dari Fakulti Perikanan dan Sains Makanan UMT dan Pusat Keusahawanan dan Kerjaya UMT. Kini, projek itu dikembangkan sebagai perniagaan ikan laga yang turut dikomersilkan ke luar negara. 

Manakala Mohd Maliki, graduan program Sarjana Muda Teknologi (Alam Sekitar) UMT yang mempunyai minat mendalam dalam bidang keusahawanan telah memiliki premisnya sendiri selepas mengusahakan perniagaan ais krim yang dijenamakan sebagai Hash Cream hasil Geran Usahawan Perantis.

Bagi projek keusahawanan yang telah dilaksanakan melibatkan komuniti pula iaitu menerusi  Projek Ternakan Kelulut, Projek University for Society (U4S) iaitu Memperkasa Komuniti Nelayan di Setiu, Terengganu Menerusi Teknologi dan Eko-Pelancongan, Intervensi Psikososial dan Latihan Keusahawanan, Program Pembelajaran & Pembangunan Sistem Ternakan Ikan Air Tawar Berkualiti Tinggi Secara Komersial, Silent Planters iaitu projek penanaman secara fertigasi, Projek Pertanian dan Penternakan Berkelompok melibatkan Cendawan Tiram Kelabu, Fertigasi serta Akuakultur.

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu