KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama rakan industri Salihin Chartered Accountants telah meraikan 127 pelajar dalam Majlis Penghargaan Pelajar TAF UMT-SALIHIN, Program Sarjana Muda Perakaunan, 2018.

‘Teaching Accountancy Firm’ (TAF) yang dimulakan pada tahun 2016 merupakan satu inovasi pertama di Malaysia yang memberi pengalaman kerja perakaunan sebenar kepada pelajar seawal tahun kedua pengajian.

Semua pelajar diberi peluang sama rata untuk mengikuti program TAF di dalam 5 kursus yang berbeza iaitu kursus pengauditan, perakaunan, percukaian dan khidmat nasihat yang dilihat merangkumi kesemua elemen penting dalam dunia perakaunan.

Menurut Profesor Dato` Dr. Nor Aieni binti Haji Mokhtar Naib Canselor UMT, bermula dengan hanya 7 perintis untuk kohot pertama, kini program TAF telah berjaya melatih seramai 310 orang pelajar bagi kelima-lima kursus berkenaan yang telah berlangsung untuk 5 kohot termasuk semester ini.

 

“Seramai 127 orang pelajar diberikan penghargaan bagi kohort 3 dan 4, manakala dari kalangan mereka ini pula, seramai lima orang pelajar terpilih sebagai pelajar terbaik yang mengikuti kursus di TAF”.

 

“Saya bagi pihak UMT mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas sumbangan Dr Salihin Abang bagi anugerah pelajar terbaik ini.  Tanpa kerjasama dan komitmen yang tinggi daripada Salihin Chartered Accountants, TAF tidak akan mampu mencapai objektif yang disasarkan”. Ujar beliau.

 

Program ini bukan sahaja dapat membantu pelajar untuk cemerlang dalam bidang akademik malah program yang diolah dengan menggabungkan teori dan praktikal perakaunan ini telah berjaya mencungkil bakat pelajar dan menyerlahkan kemahiran mereka sehingga berjaya disunting oleh syarikat-syarikat ternama seperti KPMG, HP, malah SALIHIN sendiri.

 

“Harapan saya kepada UMT agar hubungan strategik UMT-Salihin yang telah dibentuk ini  dapat dikembangkan agar dapat melahirkan lebih ramai graduan yang holistik yang dapat memenuhi kehendak industri khususnya dalam menuju era Revolusi Industri 4.0”. Tambahnya lagi.

 

“kerjasama yang telah dijalankan selama dua (2) tahun ini, diharap dapat diteruskan lagi demi kebaikan UMT dan Salihin bersama”.

 

Selaras dengan Misi UMT ‘Menjana Ilmu Untuk Kesejahteraan Masyarakat dan Kelestarian Alam’diharap kerjasama ini dapat diperluaskan dengan melibatkan pula komuniti sekitar, dan memberi peluang meningkatkan pencapaian kita khususnya, dan yang memberi nilai tambah kepada komuniti.

 

Majlis Penghargaan ini diadakan di Auditorium Mahyuddin, UMT pada 28 November 2018 dalam suasana yang penuh meriah.

 

Dikeluarkan Oleh:

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu