UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT perkukuhkan jalinan kerjasama dengan NRU, Uzbekistan

UMT perkukuhkan jalinan kerjasama dengan NRU, Uzbekistan

Thursday, 21/12/2023

Share This Article :

Universiti terulung dalam bidang sains kelautan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencapai kesepakatan melalui jaringan kerjasama perjanjian persefahaman dengan National Research University (NRU, TIIAME), Uzbekistan.

Jalinan kerjasama strategik melibatkan perbezaan budaya itu dimeterai secara rasmi dalam suatu majlis di Uzbekistan pada 16 Disember lalu masing-masing diwakili oleh Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar dan Rektor NRU, Prof. Dr. Bakhadir Suyunovich Mirzaev.

Majlis itu juga disertai dengan lawatan rasmi ke beberapa lokasi yang berpotensi untuk dikembangkan  selain memperkukuhkan hubungan diplomatik yang telah wujud antara Malaysia dan Uzbekistan sejak 1992.

Turut hadir ke majlis itu iaitu Duta Malaysia di Republik Uzbekistan, TYT IIham Tuah Illias bersama-sama deligasi UMT bagi menyaksikan majlis menandatangani dokumen MOU.

Memorandum Persefahaman yang ditandatangani adalah satu dokumen yang memperincikan komitmen dan hasrat bersama untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang khususnya dalam perkongsian kepakaran dan penyelidikan.

Menurut Prof. Dr. Mazlan, salah satu aspek yang ditekankan dalam memorandum ini ialah perkongsian nilai-nilai budaya dan sejarah antara kedua-dua negara.

“Uzbekistan sebuah negara yang unik dan kaya dengan warisan sejarah dan ia mempunyai potensi besar untuk dikembangkan dan dimanfaatkan.

“UMT mempunyai pelajar daripada negara terbabit dan dengan kolaborasi ini juga kita akan adakan program pertukaran pelajar, penganjuran seminar serta perkongsian kepakaran dan kita harap usaha ini memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Katanya, UMT merancang untuk membuka Pusat Bahasa Inggeris  di negara yang kaya dengan sejarah ketamadunan tersebut.

“Kolaborasi bermula dengan pelaksanaan aktiviti dengan universiti tersebut, yang mana pensyarah-pensyarah UMT telah dilantik sebagai visiting lecturer bagi menyampaikan pengajaran di universiti-universiti di sini”

“Selain itu, kita buat lawatan tapak  untuk melihat kesesuaian bagi mewujudkan Pusat Bahasa Inggeris yang akan dibangunkan di Termez Universiy of Uzbekistan”.

Tambahnya, usaha itu bakal memberi impak besar terhadap pembangunan dan pencapaian universiti yang kini telah berada pada tahap terbaik dalam sejarah penubuhannya.

“Kita rancang bahawa UMT akan menerima lebih ramai pelajar antarabangsa dari Uzbekistan ke UMT yang mana akan menyumbang kepada KPI juga penjanaan pendapatan UMT menerusi yuran pelajar antarabangsa”

Selain itu, katanya, model perancangan yang direncanakan melalui program francais ISF di Uzbekistan itu juga bertindak sebagai pelan promosi strategik bagi pengambilan pelajar program International STEM Foundation yang ditawarkan di UMT.

Majlis menandatangani memorandum dan lawatan rasmi ke Uzbekistan itu telah mencipta landasan yang kukuh bagi kerjasama masa depan antara kedua-dua universiti dengan kepelbagaian sejarah warisannya, kini bukan sahaja menjadi destinasi pelancongan yang menarik, tetapi juga rakan strategik yang penting dalam membentuk landskap pendidikan serantau dan global.

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu