UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Projek prihatin jamin bekalan air bersih komuniti Pantai Senok, Bachok Kelantan

Projek prihatin jamin bekalan air bersih komuniti Pantai Senok, Bachok Kelantan

Wednesday, 17/03/2021

Share This Article :

Bekalan air bersih amat penting dalam kehidupan dan penentu dalam kesejahteraan masyarakat.

 

Bukan sahaja memudahkan urusan harian, air juga dapat mempengaruhi tahap kesihatan manusia.

 

Bagi memastikan bekalan air bersih berterusan kepada sebahagian penduduk daerah Bachok Kelantan yang terjejas, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menjalankan program penyediaan air bersih melalui pembinaan loji nyahgaram yang dibina pada tahun 2018  dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

 

Namun, loji itu akan menamatkan operasinya setelah fasa penyelidikan selesai penghujung tahun 2021.

 

Bagi memastikan bekalan air bersih dapat disalurkan kepada penduduk setempat tanpa gangguan, loji nyahgaram tersebut akan diserahkan kepada pihak yang berminat bagi mengambil alih pengurusan loji tersebut agar lebih cekap dan bersistematik.

 

Loji nyahgaram ini turut mendapat perhatian Yang Berhormat Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Alam Sekitar dan Air yang peka dan prihatin akan permasalahan rakyat bagi mencari kaedah penyelesaian jangka panjang masalah air penduduk untuk diatasi dengan bekalan yang dihasilkan melalui operasi loji tersebut.

 

Ketua Penyelidik, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar yang juga Naib Canselor UMT berkata, projek tersebut bermula pada tahun 2018 merupakan satu inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi pada ketika itu melalui Geran Penyelidikan Translasional bernilai RM5 Juta.

 

“Projek Penyelidikan Translasional ini mampu memberi manfaat dan hasil kajian serta penyelidikan yang dilakukan melalui konsep pemindahan ilmu dan teknologi, projek ini berjaya dibangunkan untuk kemudahan, kesejahteraan dan keselesaan rakyat setempat.

 

Loji penyahgaraman di Pantai Senok mampu menghasilkan 500,000 liter air terawat untuk dimanfaatkan sehingga 3,000 orang penduduk setiap hari. Sehingga kini, loji tersebut telah berjaya membekalkan air bersih kepada penghuni 200  kediaman yang berhampiran sejak pembinaannya.  Antara kawasan yang menerima manfaat daripada pembinaan loji nyahgaram itu ialah Kampung Pantai Senok, Kampung Senok dan Kampung Cherang Laut termasuk kawasan sekitar yang berdekatan.

 

Loji yang mempunyai kapasiti tinggi itu mampu menampung permintaan bekalan air bersih di kawasan daerah Bachok sekiranya kemudahan sistem saluran paip dapat disediakan untuk pengagihan secara terus ke rumah tanpa perlu mengambil bekalan air di loji yang disediakan.

 

Sementara itu, Yang Berhormat Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, memberi reaksi positif dalam usaha mengekalkan pengoperasian loji nyahgaram tersebut.

 

“Projek bekalan air alternatif yang sangat bermanfaat untuk komuniti setempat beserta kepakaran tempatan yang mantap. Insya-Allah, saya akan meneliti lebih lanjut bagi memastikan projek ini kekal lestari demi manfaat rakyat”.

 

Turut bersama dalam lawatan kerja tersebut ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia yang juga Ketua Penyelidik, Prof. Datuk Ts. Dr Fauzi Ismail, Pengurus Besar, Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB), Datuk Ir. Dr. Azuhan Mohamed, dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ranhill SAJ Sdn. Bhd., Nor Ifuan Md Nor.

 

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu