UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT CEMERLANG 2019

UMT CEMERLANG 2019

Sunday, 29/12/2019

Share This Article :

Tirai 2019 mula berlabuh tidak lama lagi. Pelbagai kisah yang menjadi ingatan dan terpahat dalam lipatan sejarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Banyak kisah suka yang menaikkan imej UMT dengan pencapaian yang begitu cemerlang diperingkat nasional dan juga antarabangsa. Namun begitu, terdapat juga berita yang kurang enak didengar dan mungkin juga tidak perlu dibangkitkan. Walaubagaimanapun, perjuangan perlu diteruskan demi agama, bangsa dan negara Malaysia yang tercinta.

 

Momentum UMT pada permulaan tahun 2019 begitu mengujakan. Jika disingkapkan kembali, lima pelajar UMT yang menerima anugerah yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Terengganu sempena majlis Anugerah Sarjana Terengganu. Antara pelajar cemerlang tersebut ialah Nur Atiha Muhammad (Perakaunan), Amynina Nabila Mohd Azhar (Fizik Elektronik dan Instrumentasi), Mas Yuhalissa Mat Yaziz (Perikanan), Nadiah Ramli (Teknologi Alam Sekitar) dan Muhammad Syafiq Mohd Rizani (Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim).

 

 

Tidak lupa kepada golongan memerlukan, UMT sekali lagi mengadakan program bagi membantu golongan asnaf dengan menganjurkan program Asnaf to Asnaf (A2A). Program ini direka khas bagi mewujudkan platform perkongsian ilmu daripada siswa kalangan asnaf kepada pelajar-pelajar sekolah yang juga terdiri dari kalangan asnaf.

 

Tanggungjawab peduli asnaf ini suatu perkara yang diambil berat oleh pengurusan UMT demi melihat perubahan taraf hidup generasi pelapis golongan tersebut.

 

Selain itu, suatu kejayaan yang boleh dibanggakan iaitu dengan kejayaan penganjuran program Mengaji Tanpa Henti anjuran Pusat Islam Sultan Mahmud UMT yang turut terpahat dalam rekod Malaysia (Malaysia Book of Records). Program unik yang mengambil masa selama 123 jam itu berjaya menarik minat pelbagai lapisan masyarakat iaitu warga emas, golongan cacat penglihatan, kanak-kanak berumur 6 hingga 8 tahun selain mualaf dan pelajar antarabangsa.

 

Kejayaan Penerbit UMT melakar sejarah buat julung kalinya dalam bidang penerbitan dengan menghasilkan 200 judul e-book melibatkan penerbitan ilmiah dan korporat dalam pelbagai bidang turut dijadikan lipatan sejarah 2019. Majlis pelancaran e-book yang diadakan pada 19 Jun 2019 telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, YB. Dr Maszlee Malik bertempat di Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya

 

 

Dalam menjalankan tanggungjawab sosial UMT terhadap peningkatan sosieekonomi penduduk pesisir pantai yang terdiri daripada nelayan, sebanyak satu juta benih udang galah dilepaskan oleh Institut Akuakultur Tropika dan Penyelidikan Perikanan di beberapa buah lokasi di sungai Terengganu dalam memulihara sumber berkenaan terus dikekalkan. Antara sungai-sungai yang terlibat seperti Sungai Nyatoh, Sungai Paka dan Sungai Terengganu.

 

Kejayaan penyelidik yang turut mengharumkan nama UMT setelah memenangi anugerah L’Oreal – Unesco Fellowship For Women In Science (FWIS) baru-baru ini turut menjadi tular. Hasil kajian yang dijalankan oleh Prof. Madya Dr. Wan Iryani Wan Ismail selama 10 tahun ke atas madu untuk dimanfaatkan masyarakat umum dalam penjagaan kesihatan. Tahniah!

 

Juga tidak lupa kepada sekumpulan pelajar Sarjana Muda Sains Biologi UMT yang bertindak dengan pantas demi menyelamatkan seekor lumba-lumba yang terdampar di Pantai Tanjung Gelam setelah mendapat maklumat daripada penduduk sekitar. Detik cemas tersebut sempat dirakam oleh salah seorang dari kumpulan tersebut dan mula tular di laman-laman social dan akhirnya mendapat perhatian stesen-stesen tv dan radio terkemuka. Pelajar-pelajar tersebut turut diundang ke studio tv dan juga konti radio seperti BERNAMA, Astro Awani, Radio Manis FM dan lain-ain. Pelajar-pelajar tersebut ialah Mohd Nur Aiman Suhaimi Akalili Zanudin, Wan Amirul Syafiq Wan Nazari, Syakirah Sukery, Farah Syahirah Ishak, Syafiqah Nabilah Mutalib dan Nur Aini Othman.

 

Kejayaan-kejayaan ini membuktikan keupayaan UMT yang wujud hanya sebagai sebuah institusi perikanan yang kecil pada tahun 1979 hingga mampu memberi saingan kepada institusi pengajian tinggi terkemuka serta dijadikan sumber rujukan oleh media dan juga badan-badan tertentu.

 

UMT telah memainkan peranan besar dalam pembangunan pendidikan tinggi negara. Sehingga kini, UMT telah berkembang dengan pesat sebagai sebuah universiti berfokus di dalam bidang ilmu kelautan dan sumber akuatik. UMT juga telah memberikan sumbangan terhadap pembangunan negara dalam pendidikan maritim, kelestarian sumber dan khazanah marin dengan menyediakan tenaga kerja mahir dalam bidang berkaitan. UMT SOHOR!