UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Sisa makanan : Dulu dibuang, kini jana pendapatan

Sisa makanan : Dulu dibuang, kini jana pendapatan

Tuesday, 08/03/2022

Share This Article :

Secara purata lebih 16 ribu tan sisa makanan dibuang setiap hari daripada dapur kediaman rakyat Malaysia dan angka itu memberi kesan buruk terhadap perubahan iklim serta menyumbang kepada pemanasan global.

 

Namun sisa-sisa buangan itu jika diuruskan secara sistematik, bukan hanya dapat mengurangkan pencemaran, malah ia mampu memberi pulangan tambahan terutamanya kepada golongan suri rumah.

 

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Program Pemindahan Ilmu Bersama Komuniti Raub anjuran sekumpulan penyelidik telah berjaya melahirkan usahawan golongan suri rumah.

 

Ketua projeknya, Prof. Dr. Fadzilah Adibah Abdul Majid berkata sisa buangan dari dapur kediaman perlu diurus dengan baik dan dimanfaatkan oleh golongan suri rumah.

 

“Ruang dapur merupakan tempat yang paling kerap menghasilkan sisa makanan samada dalam bentuk sisa kering atau sisa basah. Sisa makanan ini perlulah diuruskan dengan bijak agar dapat dimanfaatkan dengan sepenuhnya. Kini peluang untuk suri rumah memanfaatkan sisa makanan untuk menambah pendapatan sebenarnya amat luas.

 

Ujar beliau, program itu juga bertujuan melatih wakil-wakil komuniti sekitar sebagai duta  Hijau GHEART.

 

“Program ini melibatkan wakil-wakil komuniti dari beberapa buah sekolah di Daerah Raub seperti Sek. Kebangsaan Chenua dan Sek. Men. Kebangsaan Tengku Kudin serta beberapa wakil komuniti dari Taman Simpang Kalang, Taman Amalina Perdana dan Kampung Melayu Sempalit.

 

“Program ini adalah untuk melatih wakil-wakil komuniti ini sebagai Duta Hijau GHEART (Green Herbal Ambassador Technoagropreneur Program) dalam memproses sisa makanan dan sisa dapur kepada baja kompos dan menggunakan hasilan ini dalam penghasilan herba yang bebas racun dan lestari.

 

 

Katanya, semua peserta terlibat telah Berjaya mengikuti beberapa modul asas berkaitan pengenalan kepada herba tempatan untuk makanan dan kesihatan iaitu teori pembuatan baja kompos sisa makanan, penanaman herba dan kaedah penjanaan pendapatan serta kursus memproses herba menggunakan teknologi hijau.

 

 

Selain itu, program serampang dua mata itu juga mampu memupuk kesedaran kepentingan herba untuk kesihatan dan juga untuk penjanaan pendapatan.

 

Tambah Prof. Fadzilah, proses penghasilan baja kompos amat mudah dan tidak memerlukan kos serta mempunyai banyak kegunaan.

 

“Ianya hanya menggunakan sisa dapur dan diperam mengikut proses tertentu sebelum dicampurkan dengan tanah dan sekam padi bagi menghasilkan baja kompos yang boleh digunakan untuk pokok-pokok herba yang ada disekeliling rumah seperti serai, pudina, kaduk, sirih, kunyit, lengkuas, halia, cili, ketumbar jawa, pegaga dan banyak lagi pokok-pokok herba yang biasanya ditanam di sekeliling rumah”. Katanya.

 

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu