UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

PERKEMBANGAN UMT DRASTIK, DIKTIRAF 5 BINTANG MYRA®

PERKEMBANGAN UMT DRASTIK, DIKTIRAF 5 BINTANG MYRA®

Monday, 16/03/2020

Share This Article :

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menerima anugerah lima bintang dalam penarafan Malaysia Research Assessment (MyRA®) sempena Majlis Penganugerahan Watikah Penarafan Bintang Myra® 2020 yang disempurnakan oleh YB Dato’ Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi di Putrajaya baru-baru ini.

 

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar berasa bangga dan bersyukur atas kejayaan penganugerahan yang diberikan.

 

“Alhamdulillah dan bersyukur kepada Allah SWT atas pengiktirafan ini. Saya amat bangga dengan pencapaian kajian dan penyelidikan yang dilakukan oleh ahli akademik UMT. Pencapaian lima bintang ini sangat bermakna bagi UMT kerana anugerah ini juga merupakan anugerah khas kepada UMT dalam peningkatan yang amat drastik daripada empat bintang pada tahun 2016. Anugerah ini adalah hasil usaha semua warga UMT dan kejayaan ini merupakan kejayaan bagi anda semua”.

 

UMT meletakkan sasaran tinggi dalam penarafan MyRA® dan dinyatakan dalam Pelan Strategik UMT 2018-2022.

 

“Sepanjang saya menjawat jawatan Naib Canselor UMT, saya sentiasa menekankan kepentingan pencapaian MyRA® kepada semua warga UMT. Jika dilihat pencapaian UMT semenjak MyRA® diperkenalkan pada 2010, UMT telah memperolehi penarafan 3 bintang secara konsisten sehingga tahun 2016 kecuali pada 2011 di mana UMT hanya mendapat 2 bintang.

 

“Oleh itu, sebagai Naib Canselor, saya menitikberatkan pencapaian cemerlang di dalam RDCI agar penarafan MyRA® dapat ditingkatkan sasarannya kepada 4 bintang pada 2017 dan 5 bintang pada 2018. UMT sebagai sebuah universiti tidak seharusnya melakukan perkara yang sama semenjak beberapa tahun yang lepas dan mengharapkan keputusan yang lebih baik dicapai. UMT telah mengorak langkah yang lebih proaktif dan memperkenalkan pelbagai intervensi dan perancangan yang lebih strategik. Sepanjang 2017 dan 2018, ekosistem RDCI diperkasakan lagi untuk membolehkan pencapaian yang lebih baik dan cemerlang dan ia dilakukan secara by design untuk mengoptimumkan sumber yang ada di UMT. UMT harus bergerak sebagai satu keluarga yag mempunyai visi yang sama (shared vision). Aset sesuatu organisasi adalah orangnya. Sokongan dan komitmen dari kesemua warga UMT adalah sangat penting bagi memastikan intervensi dan inisiatif dapat dilaksanakan seperti dirancang untuk merealisasikan UMT mencapai penarafan MyRA® 5 bintang pada 2018”.

 

UMT peka dalam mengharungi cabaran globalisasi pada abad ke 21. Sebagai sebuah universiti komprehensif, UMT telah memainkan peranan yang lebih proaktif untuk meletakkan nama universiti di persada global agar nama UMT lebih dikenali oleh semua pihak bagi memastikan UMT setanding dengan universiti-universiti lain.

 

Kepakaran UMT diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila berupaya meningkatkan pengambilan pelajar siswazah antarabangsa serta menghasilkan kolabarosi penyelidikan dengan institusi terkenal luar negara.  Secara tidak langsung para penyelidik UMT berpeluang menerima geran antarabangsa serta men ghasilkan penerbitan bersama dalam jurnal berimpak tinggi. Hal ini dibuktikan dengan beberapa penyelidik UMT yang telah berjaya menghasilkan artikel penyelidikan  dalam jurnal Nature, Nature Ecology and Evolution dan Nature Communications

 

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah memperkenalkan instrumen untuk mengukur pencapaian kesemua universiti di Malaysia dalam Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersilan dan Inovasi (RDCI) yang dikenali sebagai Malaysia Research Assessment (MyRA®).  Oleh itu, penekanan harus diberikan kepada RDCI. Pencapaian RDCI merupakan kayu ukur utama yang digunakan oleh kesemua universiti di dunia untuk memastikan keterlihatan global mereka tercapai.

 

RDCI merupakan jantung bagi semua universiti. UMT sebagai sebuah universiti komprehensif yang berfokuskan kepada ilmu kelautan dan sumber akuatik, ahli akademik perlu menghasilkan pengetahuan baharu melalui aktiviti penyelidikan serta menyebar dan berkongsi pengetahuan baharu yang dijana kepada pelajar-pelajar, komuniti dan industri bagi menghasilkan kekayaan, meningkatkan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

 

Oleh itu, adalah amat penting sekali bagi UMT untuk sama sama bergerak sehati sejiwa di dalam memperkasakan lagi input, output dan impak aktiviti-aktiviti RDCI untuk membolehkan pencapaian UMT diiktiraf, bukan sahaja di peringkat nasional, tetapi yang lebih penting lagi di peringkat antarabangsa.  

 

 

STRATEGI UMT MENUJU 5 BINTANG MyRA®

 

Bermula 2018, MyRA® PTJ diperkenalkan ke setiap PTJ akademik (Fakulti dan Institut Penyelidikan) untuk menetapkan sasaran setiap indikator MyRA® bagi memenuhi hasrat pengurusan utama UMT untuk mencapai penarafan MyRA® 5 bintang.

 

Markah di setiap seksyen di dalam instrumen MyRA® ditentukan secara by design untuk memperolehi markah MyRA® UMT yang ditetapkan oleh pengurusan utama UMT berdasarkan kekuatan para penyelidik di PTJ akademik bagi memastikan ke semua sasaran setiap indikator tercapai.

 

Manakala sistem sokongan juga diperkemaskan untuk membolehkan program-program baru diperkenalkan, proses-proses ditambahbaik dan polisi-polisi baharu juga diperkenalkan untuk meningkatkan pencapaian RDCI UMT dan seterusnya mencapai penarafan MyRA® 5 bintang. Antara inisiatif yang dilaksanakan seperti dana Khas diperkenalkan dan dirancang secara by design untuk membolehkan penyelidik yang aktif menjalankan penyelidikan dan menghasilkan output yang sepatutnya. Pelan Strategik UMT 2018-2022, melalui Teras 4 Keunggulan Penyelidikan dan Inovasi, dirancang secara by design supaya ia selari dengan indikator MyRA® serta proses pemantauan kemajuan geran penyelidikan dilaksanakan bagi membantu penyelidik mencapai objektif yang ditetapkan dan menghasilkan output yang disasarkan.

 

Selain itu, UMT juga melaksanakan program pemindahan ilmu secara lebih strategik dan tersusun sesuai dengan impak RDCI dan hubungan kerjasama penyelidikan dengan pihak industri dan antarabangsa diperhebatkan lagi dan memastikan hubungan kerjasama kekal aktif dan menghasilkan output yang disasarkan.

 

Melalui inisiatif itu UMT akan bergerak selari dengan hasrat pihak kementerian yang memfokuskan penyelidikan, inovasi dan pengkomersilan dalam usaha meningkatkan mutu dan kualiti sesebuah universiti.

 

Keterangan Lanjut :

 

Sayed Mohd Tamimuddin Bin Sayed Ibrahim

Pegawai Khas

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi)

Universiti Malaysia Terengganu

Tel : 013-9302777

 

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu