UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT semarak kemerdekaan, lahir modal insan patriotik

UMT semarak kemerdekaan, lahir modal insan patriotik

Tuesday, 07/09/2021

Share This Article :

Kuala Nerus, 7 September 2021 – Sambutan kemerdekaan kali ke-64 tetap diteruskan dan disemarakkan walaupun negara Malaysia yang tercinta masih lagi berdepan dengan wabak COVID-19 yang ganas dengan mutasi pelbagai varian.

Namun semangat patriotisme perlu terus disematkan dalam diri setiap anak Malaysia melalui pelbagai usaha dan medium agar semangat pertahankan tanah air yang diperjuangkan nenek moyang terdahulu tidak pernah luntur dek zaman.

Kemerdekaan bukan hanya bersifat bebas daripada penjajahan kuasa asing, tetapi ia meliputi ciri kesopanan dan kemajuan bangsa serta bebas daripada penjajahan minda.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebagai sebuah gedung ilmu yang tersohor dalam bidang kelautan dan sumber akuatik turut menyahut saranan kerajaan dalam usaha menyemarakkan sambutan kemerdekaan kali ini.

Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Mazlan Abd Ghaffar menyeru warga pendidik untuk terus berjuang demi bangsa merdeka.

”Sebagai warga pendidik, perjuangan kita adalah untuk memandaikan bangsa dan anak watan. Perjuangan kita juga adalah untuk melahirkan insan yang memiliki daya fikir hebat dan jiwa kental untuk menerajui bangsa dan negara mengikut acuan sendiri serta bebas menentukan masa depan yang lebih cerah di tanah air tercinta. 

Beliau optimis dengan keupayaan dan daya saing dimiliki warga UMT untuk pembangunan bangsa.

“Saya yakin, wibawa yang dimiliki oleh Warga Cemerlang UMT mampu menghasilkan keuntungan yang boleh dimanfaatkan oleh sebilangan generasi bukan sahaja dalam konteks pembangunan intektual bangsa, malah kredibiliti dalam menegakkan nilai-nilai keharmonian dan perpaduan Negara”. Beliau berkata semasa berucap dalam program Perhimpunan Sempena Bulan Kemerdekaan yang diadakan secara maya hari ini.

 

Tambah beliau, warga UMT perlu menerapkan budaya kerja cemerlang seiring dengan ciri jiwa merdeka.

“Kerja bukan semata-mata untuk diri, bahkan untuk institusi dan negara atas semangat patriotisme. Nilai utama seperti ketekunan, kesungguhan, ketelitian, kerapian, kecekapan dan bekerja dengan penuh keikhlasan dan integriti perlu disuburkan dalam kalangan warga.

“Budaya kerja sebegini perlu disemai bersama-sama dengan nilai toleransi yang tinggi. Saya yakin toleransi yang tinggi adalah kekuatan sebenar untuk kehidupan yang harmoni”.   Katanya.

Pelbagai program telah dijayakan melalui kaedah norma baharu seperti pertandingan e-poster kemerdekaan, pertandingan ulasan bahan bacaan kemerdekaan,  bual bicara “Merdekakah Keluarga Kita”, pertandingan poster erti kemerdekaan dan lain-lain.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu