UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

TERUJA BERTEMU KELUARGA

TERUJA BERTEMU KELUARGA

Saturday, 02/05/2020

Share This Article :

Kuala Nerus, 2 Mei – Seramai 306 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) termasuk seorang pelajar Kolej Universiti Bestari (UCB) berjaya dihantar pulang ke kampung masing-masing hari ini. 
 
Mereka merupakan kumpulan kedua yang menuju ke destinasi Zon Tengah dan Zon Timur.  Seramai 238 pelajar akan dihantar ke Zon Tengah, merangkumi kawasan Lembah Klang termasuk Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor. Manakala 68 pelajar akan dihantar ke Zon Timur iaitu Besut, Dungun, Kuantan, Kuala Lipis dan Jerantut. Penghantaran pulang pelajar-pelajar itu melibatkan 22 buah bas dan dua buah van yang diuruskan sepenuhnya oleh pihak UMT.
 
Profesor Dato’ Dr. Nor Aieni binti Haji Mokhtar, Naib Canselor UMT berkata proses itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
 
“Saya berpuas hati dengan kelancaran proses pada malam ini diuruskan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEPA) serta dibantu oleh Pusat Kesihatan, Bahagian Keselamatan, Felo Kolej Kediaman dan semua petugas sukarelawan UMT dari semua Pusat Tanggungjawab (PTJ) termasuk PDRM  dan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat”.
 
Dalam pada itu, menyingkap perasaan Muhammad Nueim Hassan, pelajar Sarjana Muda Sains Agroteknologi (Aakuakultur) UMT, merangkap ketua sukarelawan Art Of Kindness (AOK) dan Gerobak Rezeki (GR) yang ditemui menzahirkan rasa syukur dapat pulang ke pangkuan keluarga setelah lebih 40 hari berada di kampus berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac lalu.
 
“Alhamdulillah sepanjang PKP ini saya telah menjalankan amanah sebagai sukarelawan AOK dan GR untuk membantu rakan-rakan lain yang memerlukan. Syukur akhirnya saya dapat pulang dan dapat menunaikan tanggungjawab saya kepada keluarga pula”.
 
“Saya juga sudah tidak sabar untuk menemui keluarga dan menjalani ibadah puasa seterusnya meraikan Aidilfitri bersama mereka”.
Tambahnya lagi komitmen pasukan AOK dan GR membanting tenaga selama tempoh PKP di UMT bersama penyelaras Dr. Izan Jaafar tidak berbelah bahagi dalam memastikan setiap pelajar yang berada di Kolej Kediaman dan luar asrama dapat menikmati juadah setiap hari.
 
Sementara itu, Norhasmidar Idris ketika dihubungi mengucapkan syukur kerana anaknya Syahmi Firdaus Zamri, pelajar Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim UMT, telah selamat sampai ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sham Alam pada jam empat pagi tadi. 
 
Tambahnya, beliau amat berpuas hati dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak kerajaan, KPT, UMT, PDRM serta semua yang terlibat dalam proses penghantaran pulang semua pelajar.
 
“Terima kasih juga kerana menjaga kebajikan mereka terutama kesihatan, makan dan minum sepanjang terkandas di sana. Budi baik semua pihak tak mampu saya balas. Hanya mampu mendoakan semua pihak yang terlibat sentiasa dalam lindungan Allah S.W.T dan dipermudahkan semua urusan.”
 
Pelepasan pelajar-pelajar pada malam ini turut disaksikan oleh Naib Canselor UMT, Profesor Dato’ Dr. Nor Aieni binti Haji Mokhtar dan Profesor Madya Dr. Hafiz Bin Zakariya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEPA) UMT.
 
Disediakan oleh:
Pejabat Komunikasi Korporat (PKK)
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)