UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Penantian momen indah bakal berkahir dengan penganjuran konvokesyen UMT ke-19

Penantian momen indah bakal berkahir dengan penganjuran konvokesyen UMT ke-19

Wednesday, 16/03/2022

Share This Article :

Kira-kira lebih 2,000 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan meraikan detik penuh bersejarah sepanjang bergelar mahasiswa universiti itu sempena penganjuran Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu ke-19 bertempat di Dewan Sultan Mizan, UMT.

 

 

Penganjuran majlis itu akan diadakan selama empat hari bermula 20 Mac 2022 mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan yang sedang berkuatkuasa.

 

Menariknya, majlis konvokesyen kali ini bakal menampilkan tokoh-tokoh hebat yang telah menyumbang dalam pembangunan negara sebagai penerima anugerah khas.

 

Selain itu, sesi pengijazahan dan kategori anugerah turut diadakan sepertimana penganjuran majlis konvokesyen tahun sebelumnya.

 

Antara kategori penerima anugerah sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu ke-19 ialah Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi, Ijazah Kehormat Sarjana Sains Sosial, Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Pingat Emas Canselor, Anugerah Pro Canselor, Anugerah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti.

 

Selain itu, UMT juga mengetengahkan pelajar-pelajar yang menonjol di setiap fakulti sebagai penerima anugerah Naib Canselor UMT.

 

Terdapat lima fakulti yang menawarkan pengkhususan peringkat diploma dan sarjana muda iaitu Fakulti Perniagaan Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan dan Informatik, Fakulti Pengajian Maritim dan Fakulti Perikanan dan Sains Makanan.

 

Untuk rekod, evolusi UMT bermula dengan penubuhan sebuah pusat kecil iaitu Pusat Perikanan dan Sains Samudera dan berkembang menjadi Universiti Pertanian Malaysia Terengganu, Kolej Universiti Terengganu dan Kolej Universiti Sains Teknologi Malaysia (KUSTEM) setelah diperbadankan sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awan ke-14 di Malaysia.

 

Kini UMT telah mengeluarkan lebih 35,000 graduan yang bergelar alumni yang telah menyumbang kepada pembangunan negara.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu